Judul: Al-Adzkar, Zikir-zikir Dari Hadits-hadits Nabi | Judul Asal (‘Arab): Al-Adzkaar Al-Muntakhibah min Kalaami Sayyidil Abraar | Penulis/Penyusun: Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) | Tahqiq/Ta’liq/Takhrij: Ahmad bin ‘Abdil Wakil Al-Mishry | Syarah: Al-Imam An-Nawawi | Penterjemah: Ustaz Arif Munandar | Penerbit: Al-Qowam | Berat: 1.55kg | Muka Surat: 686m/s. (Hard cover) | Ukuran buku: 24.5cm (tinggi) x 17.3cm (lebar) x 5.1cm (tebal) | ISBN: 978-602-8417-79-2 |
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) merupakan salah seorang ulama besar yang tidak asing lagi namanya. Usianya tidaklah lama, di mana beliau wafat seawal usia 40an. Walaupun demikian, beliau merupakan tokoh besar yang sangat terkenal, merupakan muhaqiq besar dalam mazhab Asy-Syafi’i, manakala karya-karya peninggalannya berjilid-jilid tebal dan manfaatnya menggunung tinggi. Karya-karya dan ilmu beliau tersebar dan terkenal ke seantero dunia kaum muslimin.
Di antara karya-karya besar beliau adalah seperti Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab yang merupakan rujukan besar dalam fiqh perbandingan mazhab, kemudian Minhaj Ath-Thalibin yang merupakan antara rujukan dasar fiqh/feqah mazhab Asy-Syafi’i, kemudian Raudhah Ath-Thalibin juga rujukan penting dalam mazhab Asy-Syafi’i. Manakala di bidang akhlak, penyucian jiwa dan adab ada Riyadhus Shalihin, merupakan kitab akhlak yang disusun berteraskan hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, yang mana kitab ini sangat terkenal dan hampir setiap masjid di seluruh dunia membaca dan memilikinya. Kemudian siapa yang tidak kenal dengan Al-Arba’un An-Nawawiyyah, merupakan himpunan 42 hadis jawami’ul kalim yang juga cukup terkenal dan banyak dihafal oleh kaum muslimin. Selain itu, ada pula Al-Minhaj Syarh Shahih Muslim, merupakan khidmat dan syarah beliau ke atas kitab hadis antara yang terpenting dalam Islam, yakni kitab Shahih Muslim.
Dan masih banyak kitab-kitab beliau yang lainnya di pelbagai bidang dan lapangan ilmu-ilmu syar’i.
Adapun yang ada di depan kita ini merupakan Kitab Al-Adzkar, merupakan satu lagi karya terkenal susunan beliau (Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H)). Kitab Al-Adzkar ini merupakan sebuah kitab yang menghimpunkan doa-doa dan dzikir-dzikir yang asalnya berselerakan di kitab-kitab hadis yang besar. Al-Imam An-Nawawi telah mengambil inisiatif untuk menilai, memilih, dan mengumpulkannya lalu menghimpunkannya semula dalam bentuk yang lebih mudah dan fokus. Di samping menghimpunkan doa-doa dan dzikir-dzikir tersebut ke dalam kitab ini dengan susunan judul-judul bab yang sistematik, beliau rapikan lagi dengan mengeluarkan faedah-faedah yang terkandung di dalam doa dan dzikir-dzikir tersebut, baik dari sudut lafaz-lafaz doa dan dzikirnya, kaifiyatnya, adab-adabnya, faedah-faedah fiqh atau feqahnya, dan yang semisal. Lalu kitab ini beliau beri judul sebagai Al-Adzkar, yakni dzikir-dzikir.
Jadi, apabila kita menela’ah kitab ini, kita tidak hanya mendapatkan lafaz-lafaz doa dan dzikir untuk dibaca, tetapi dalam masa sama kita juga akan mendapatkan sejumlah faedah yang besar berupa huraian dan penjelasan-penjelasan yang terkait dengan doa-doa dan dzikir-dzikir tersebut.
Adapun metodhologi (pendekatan) fiqh atau feqah yang digunakan oleh Al-Imam An-Nawawi bagi kitab ini adalah pendekatan berteraskan mazhab Asy-Syafi’i, sehingga kita akan menuai banyak sekali manfaat dan pendedahan terkait fiqh doa dan adab dari mazhab Asy-Syafi’i di samping mengenal beberapa tokoh-tokoh penting yang turut disebutkan oleh Al-Imam An-Nawawi di sela-sela senarai doa serta dzikir diikuti penjelasannya.
- Sinopsis disediakan oleh Atsar Online Bookstore -
Semoga bermanfaat.
Semoga bermanfaat.