Judul: Fiqh Sunnah Lin Nisaa’, Ensiklopedi Fiqih Wanita | Judul Asal (‘Arab): Fiqh As-Sunnah Li An-Nisaa’ | Penulis/Penyusun: Asy-Syaikh Abu Malik Kamal | Tahqiq/Takhrij: Penulis | Penterjemah: Achmad Zaeni Dahlan & Sandi Heryana | Penerbit: Khazanah Fawa’id | Berat: 1559g | Muka Surat: 901m/s (Hard cover) | Ukuran buku: 24.6cm (tinggi) x 17.4cm (lebar) x 4.8cm (tebal) | ISBN: 978-602-7305-94-6 |
Asas dan teras kebahagiaan seseorang hamba di dalam kehidupan dunia dan akhirat adalah dengan mengetahui yang haq dari yang bathil dan mengambil (mengutamakan) yang haq dan meninggalkan yang bathil, keduanya dapat membuahkan ilmu yang bermanfaat, kemudian mengikutinya dengan amal-amal soleh sebagai tuntutan dari ilmu tersebut.
Seseorang yang benar-benar memerhatikan keadaan persekitaran, nescaya dia akan mendapati bahawa wanita muslimah termasuk antara yang sasaran utama musuh-musuh Islam, sehingga peribadi seseorang wanita menjadi bahan eksploitasi media massa dan cetak, mahupun media maya. Malah sangat ramai dari kalangan gadis yang hanyut dalam tipu-daya media sehingga meninggalkan dan tidak lagi mampu melihat al-Qur’an sama sekali. Sehinggalah mereka tidak mengetahui hukum-hakam Islam.
Sebahagian besar dari mereka (kecuali yang diberikan rahmat dan mendapat petunjuk dari Allah) tidak mengetahui hukum-hukum yang tersangat asas seperti bersuci (thaharah) yang merupakan syarat sahnya solat, tidak pula mengetahui hukum dan tatacara solat dengan benar yang merupakan tiang dan rukun agama Islam itu sendiri. Demikianlah pula persoalan ibadah serta sekian banyak muamalah lainnya. Sebahagian besar dari mereka terpedaya lalu disibukkan dengan kesibukan dunia.
Semua ini, ditambah lagi dengan tidak adanya kaum wanita yang dijadikan suri teladan (contoh) dan lemahnya semangat dalam menegakkan amar ma’ruf dan nahi munkar yang bersesuaian dengan garis-panduan Islam, serta banyaknya kerosakan juga pelbagai jenis kemaksiatan. Dari itu, persoalan berkaitan wanita ini tidak akan pernah usang untuk dibicarakan dari hari ke hari, malah akan menjadi lebih kompleks dan kritikal seiring dengan perkembangan zaman. Sedangkan kaum wanita itu adalah individu yang memainkan peranan sangat penting dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Dialah isteri, dialah ibu, dialah pendidik, dan dia-lah yang bertanggungjawab menjaga amanah suaminya di rumah.
Maka, memberi bimbingan yang benar adalah solusi yang terbaik buat mereka. Inilah jawaban yang tepat. Walaupun pelaksanannya tidak semudah menggenggam telapak tangan. Ibarat tulang rusuk yang bengkok, maka wanita (jika tidak diluruskan) akan semakin bengkok. Namun jika dipaksakan maka akan patah pula. Oleh kerana itu, metode dakwah yang lembut dan hikmah sangat diperlukan dengan tetap meletakkannya di atas manhaj, prinsip, dan fiqh dakwah yang benar lagi sahih.
Di antara salah satu kaedah dakwah kepada wanita adalah dengan menyebarkan ilmu melalui buku-buku. Terutamanya buku-buku yang mudah difahami oleh mereka dari kalangan awam dan buku-buku yang sesuai dengan keperluan asas mereka. Ini adalah seperti asas-asas fiqh dan ibadah untuk wanita.
Di antaranya, inilah buku yang mampu menutupi sebahagian keperluan atau ruang kosong tersebut. Sebuah buku yang mengemukakan jawaban yang baik dalam persoalan fiqh yang bersifat khusus untuk para wanita dengan edisi yang komprehensif karya Syaikh Abu Malik Kamal As-Sayid Salim dengan judul (bahasa arabnya): “Fiqhus Sunnah lin Nisaa’”. Sebuah buku yang terdiri dari dua belas bab penting meliputi; Thaharah, solat, jenazah, zakat, sedekah, puasa, haji dan umrah, sedekah dan zakat, sumpah, makanan, minuman, sembelihan, nadzar, pakaian wanita, perhiasan wanita, pernikahan, thalaq (penceraian), warisan serta pelbagai lagi lainnya yang berkaitan.
Melalui buku ini, penulis menyusun bab-bab dengan mudah dan padat, komprehensif, tujuan yang fokus, lengkap dengan dalil dan rujukan, serta sistematik berdasarkan urutan keutamaannya. Istilah-istilah yang dibawakan adalah mudah difahami. Setiap penjelasan dibawakan dalil sebagai penguat berserta perkataan para ulama ahlus sunnah wal-Jama’ah sekaligus menjadikan buku ini bersifat mudah tetapi tidak mengabaikan aspek ke-ilmiyahannya.
InsyaAllah, ini adalah di antara buku yang sangat baik buat para wanita di luar sana secara umum sebagai bekalan ilmu-ilmu asas yang sangat penting. Dan perlu diketahui, buku ini bukan sekadar untuk para wanita, tetapi para lelaki juga perlu mengambil tahu disebabkan isi-isinya yang sangat penting.
Ketahuilah wahai Saudari-ku...
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
“Sesiapa yang beramal soleh sama ada lelaki mahupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah An-Nahl, 16: 97)
Tidak dapat dinafikan bahawa dalam melaksanakan ibadah kepada Allah memiliki syarat-syarat, rukun-rukun, dan kewajiban-kewajiban yang wajib dipenuhi demi kesempurnaan ibadah atau terlepasnya beban syari’at tersebut. Satu-satunya jalan yang perlu ditempuh adalah mempelajari langsung dari sumbernya. Oleh sebab itulah, menuntut ilmu diwajibkan atas setiap muslim baik lelaki mahupun wanita.
Dalam sebuah hadis dari Abu Sa’iid Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, beliau menceritakan:
جَاءَتْ امْرَأَةٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ ذَهَبَ الرِّجَالُ بِحَدِيثِكَ فَاجْعَلْ لَنَا مِنْ نَفْسِكَ يَوْمًا نَأْتِيكَ فِيهِ تُعَلِّمُنَا مِمَّا عَلَّمَكَ اللَّهُ
“Ada seorang wanita datang menemui Rasulullah lalu berkata, “Wahai Rasulullah, kaum lelaki telah pergi dengan membawa hadis-hadis daripada engkau. Maka luangkanlah satu hari untuk kami (kaum wanita) supaya kami dapat menemui engkau pada hari tersebut dan engkau mengajarkan kepada kami apa-apa yang telah diajarkan Allah kepada engkau.”
Rasulullah pun bersabda:
اجْتَمِعْنَ فِي يَوْمِ كَذَا وَكَذَا فِي مَكَانِ كَذَا وَكَذَا فَاجْتَمَعْنَ فَأَتَاهُنَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَلَّمَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَهُ اللَّهُ
“Berkumpullah kamu pada hari ini dan ini, di tempat ini dan ini.”
Setelah itu, para wanita pun berkumpul di tempat yang dijanjikan tersebut. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menemui mereka dan mengajar mereka perkara-perkara yang telah diajarkan oleh Allah kepadanya. (Shahih al-Bukhari, no. 7310)
Dalam riwayat yang lain, juga daripada Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu:
قَالَتْ النِّسَاءُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَلَبَنَا عَلَيْكَ الرِّجَالُ فَاجْعَلْ لَنَا يَوْمًا مِنْ نَفْسِكَ فَوَعَدَهُنَّ يَوْمًا لَقِيَهُنَّ فِيهِ فَوَعَظَهُنَّ وَأَمَرَهُنَّ
“Para wanita berkata kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Engkau menghabiskan waktumu untuk mengajar kaum lelaki. Oleh itu, sediakanlah dari harimu untuk mengajar kami.” Maka Rasulullah pun menyediakan satu hari khusus untuk mereka (kaum wanita) yang dengan hari tersebut beliau menemui mereka untuk mengajar dan menyampaikan perintah kepada mereka.” (Shahih Al-Bukhari, no. 101)
Demikian semangat mereka demi mendapatkan ilmu. Mereka punya kesungguhan dan kecemburuan. Dari hadis tersebut mengkhabarkan kepada kita tentang sikap dan keadaan para wanita (shahabiyah) di zaman Rasulullah, mereka menghadiri majlis-majlis ilmu, mereka bertanya tentang pelbagai dari urusan mereka dan tentang diri mereka. Bahkan mereka mengajukan pertanyaan-pertanyaan yang tidak mungkin diajukan oleh wanita-wanita pada hari ini kerana sebab malu.
Wahai kaum wanita, bersemangatlah dalam menuntut ilmu-ilmu yang syar’i sebagaimana bersemangatnya para wanita generasi terdahulu. Sebagaimana ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha pernah mengungkapkan:
نِعْمَ النِّسَاءُ نِسَاءُ الْأَنْصَارِ لَمْ يَكُنْ يَمْنَعُهُنَّ الْحَيَاءُ أَنْ يَتَفَقَّهْنَ فِي الدِّينِ
“Sebaik-baik wanita adalah wanita Anshar, rasa malu tidak pernah menjadi penghalang bagi mereka untuk mempelajari agama.” (Shahih Muslim, no. 332)
Para shahabiyah ini sering bertanya tentang janabah, mimpi basah, mandi junub dan haid, istihadhah, dan banyak lagi permasalahan berkaitan wanita; dari permasalahan-permasalahan biasa, sehingga ke permasalahan yang rumit.
Mereka tidak pernah merasa cukup dengan apa yang mereka telah fahami, sebaliknya mereka terus bersemangat dalam menguasai ilmu-ilmu yang diperlukan. Mereka sentiasa merasa kekurangan dan cemburu terhadap kaum lelaki yang memiliki lebih banyak waktu dan peluang menuntut ilmu dari sisi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Atas sebab itulah mereka pun memohon tambahan waktu belajar kepada Nabi sebagaimana hadis di atas.
Kerana mereka tahu, sumber kebaikan dan kebahagiaan itu didapatkan dengan memahami dan mengamalkan ilmu-ilmu yang syar'i, perkara yang jauh berharga dari hal-hal yang lainnya. Sehingga Allah menjanjikan kehidupan yang baik bagi siapa yang menguasai dan mengamalkan ilmu-ilmu tersebut. Maka, siapa yang menghendaki kebaikan, hendaklah dia mempelajari dan berusaha memahami agamanya dengan ilmu yang benar.
Para ulama sama ada yang masih hidup pada zaman dahulu mahupun di masa sekarang, mereka sentiasa memberikan perhatian yang khusus terhadap permasalahan-permasalahan kaum wanita, lebih-lebih lagi tentang perkara adab dan hukum-hakam yang harus mereka fahami. Dan hal ini dapat dilihat melalui karya-karya dan fatwa-fatwa mereka.
Maka, manfaatkanlah setiap keadaan untuk meraih ilmu sebanyak mungkin. Kerana menuntut ilmu itu adalah sebahagian dari ibadah. Dan ia merupakan kunci menuju syurga.