Judul: Kumpulan Doa & Dzikir Pilihan (Hisnul Muslim – Saiz Sederhana) | Judul Asal (‘Arab): Hisnul Muslim Min Azdkari Al-kitabi Wa As-Sunnah | Penulis/Penyusun: Asy-Syaikh Sa’id bin ‘Ali Bin Wahf Al-Qahthani | Tahqiq/Takhrij: Penulis | Penterjemah: Izzudin Karimi | Penerbit: Darul Haq | Berat: 255g | Muka Surat: 218m/s. (Soft cover) | Ukuran buku: 20.6 cm (tinggi) x 14.4 cm (lebar) x 1.1 cm (tebal) | ISBN: 978-602-6845-29-0 |
Ini adalah sebuah buku dengan judul asalnya (dalam bahasa arab) - Hishnul Muslim yang menghimpunkan doa-doa dan dzikir-dzikir dari al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang sangat berkait rapat dengan kegiatan keseharian kita. Kini buku ini telah pun diterjemahkan dan beredar di dalam pasaran untuk dimiliki.
Sebagaimana yang kita maklum, atau bagi yang belum memahaminya, ketahuilah bahawa berzikir kepada Allah itu memiliki kedudukan yang sangat agung dan besar sekali. Disebutkan keutamaannya sama ada dalam Al-Qur’an mahupun hadis-hadis Nabi. Dan di antaranya adalah sebagaimana dalam dua hadis berikut:
Dari Abu Ad-Darda’ radhiyallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرِ أَعْمَالِكُمْ وَأَرْضَاهَا عِنْدَ مَلِيكِكُمْ وَأَرْفَعِهَا فِي دَرَجَاتِكُمْ وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ إِعْطَاءِ الذَّهَبِ وَالْوَرِقِ وَمِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ فَتَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ وَيَضْرِبُوا أَعْنَاقَكُمْ قَالُوا وَمَا ذَاكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ذِكْرُ اللَّهِ
“Mahukah kalian aku khabarkan tentang sebaik-baik amalan bagi kalian, yang lebih diredhai di sisi Rabb kalian, yang mengangkat darjat kalian, dan lebih baik bagi kalian berbanding kalian bersedekah dengan emas dan perak, lebih baik berbanding kalian berperang dengan musuh-musuh kalian kemudian kalian tebas batang leher mereka atau mereka menebas batang leher kalian.” Para sahabat pun bertanya:
“Apakah amalan itu wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Berzikir kepada Allah.” (Sunan At-Tirmizi, no. 3377)
Dari Abu Hurairah radhiallahu anhu dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
سَبَقَ الْمُفَرِّدُونَ قَالُوا وَمَا الْمُفَرِّدُونَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الذَّاكِرُونَ اللَّهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتُ
“Al-mufarridun telah mendahului.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah al-mufarridun itu?” Beliau menjawab, “Iaitu lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah.” (Shahih Muslim, no. 2676)
Maka, kehadiran buku ini memang amat bertepatan dengan tuntutan zikir itu sendiri di samping keadaan masyarakat kita hari ini yang amat-amat memerlukan bimbingan ilmu yang sahih dalam melaksanakan amal yang agung ini, iaitu berzikir kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana yang ditunjukkan dalam dalil-dalil Al-Qur’an mahupun sunnah-sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Buku ini dipenuhi dengan doa-doa (serta dzikir-dzikir) yang sahih sehingga tidak perlu rasa ragu untuk mengamalkannya. Setiap kandungannya dijelaskan sekali rujukan hadis dan sumber ambilannya baik dari Al-Qur’an mahupun kitab-kitab hadis muktabar.
Semoga kita dapat mengamalkannya di setiap keseharian aktiviti kita. Bermula dari bangun tidur, sehinggalah ke waktu tidur kembali. Dari waktu hendak keluar bekerja, sehingga kembali ke rumah semula. Dari keadaan yang sihat sehingga kepada yang sakit, serta dari yang sakit sehingga kembali sembuh. Dari mereka yang muda dan anak-anak sehingga kepada mereka yang berumah-tangga dan tua. Dari mereka yang dilanda musibah sehingga kepada mereka yang dalam keadaan senang. Dari hendak bersuci dan solat, sampailah ke hujung dan habis solat. Pelbagai doa dan dzikir-dzikir yang sahih dari Rasulullah dihimpunkan dalam buku ini.
Edisi ini tampil dengan saiz sederhana dan font Arab dan font terjemahan yang lebih besar, sesuai untuk para pembaca yang tidak biasa dengan font bersaiz kecil. Semoga bermanfaat dan selamat mengamalkannya.