Senarai Penerbit
Categories
Maklumat Akaun

Dapatkan Sekarang

Penghibur Orang Sakit, Menjadi Peribadi Yang Tegar di Tengah Musibah

Penghibur Orang Sakit, Menjadi Peribadi Yang Tegar di Tengah Musibah
Terbitan: Pustaka Imam Asy-Syafi'i
Product Code: Pustaka Imam Asy-Syafi'i
Ukuran Buku: (Tinggi x Lebar x Tebal)(cm) 23 x 15 x 1.5

ISBN: 9786029183399
Availability: In Stock
Price: RM26.00
Qty:     - OR -   Add to Wish List
Add to Compare

Judul: Penghibur Orang Sakit, Menjadi Peribadi Yang Tegar di Tengah Musibah | Judul Asal (‘Arab): Tuhfatul Maridh | Penulis/Penyusun: Abdullah bin ‘Ali Al-Ju’aitsin | Tahqiq/Takhrij: - | Penterjemah: Darwis dan Team Pustaka Imam Asy-Syafi’i | Penerbit: Pustaka Imam Asy-Syafi’i| Berat: 400 g| Muka Surat: 296 m/s. (Soft cover) | Ukuran buku: 23.0cm (tinggi) x 15.0cm (lebar) x 1.5cm (tebal) | ISBN: 978-602-918-339-9 |


Pohonlah kesihatan, kerana kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

سَلُوا اللَّهَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فَإِنَّ أَحَدًا لَمْ يُعْطَ بَعْدَ الْيَقِينِ خَيْرًا مِنَ الْعَافِيَةِ

“Pohonlah keampunan dan kesihatan kepada Allah. Kerana sesungguhnya tiada satu pun kurniaan yang lebih baik bagi seseorang setelah keimanan melainkan kesihatan.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3906. Shahih Al-Jami’ Ash-Shaghir, no. 3632)

Demikianlah apa yang disarankan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri. Malah Nabi sendiri selalu berdoa kepada Allah di setiap pagi dan petangnya agar diberikan padanya nikmat kesihatan dan dijauhkan dari keburukan. Dari sini menunjukkan bahawa manusia itu tidak dianjurkan agar meminta kesakitan, sebaliknya diminta agar memohon kesihatan.

Dan sebahagian ulama mengungkapkan:

“Aku lebih menyukai kesihatan yang dapat aku syukuri berbanding ujian berupa musibah yang harus aku hadapi dengan penuh kesabaran.” (Hannad As-Sari dalam Az-Zuhd, m/s. 254)

Namun, seandainya dia ditaqdirkan dengan sebuah musibah berupa kesakitan atau yang seumpamanya, maka dia tetap wajib bersabar dengan sedaya-upayanya.

Pada kebanyakan hal, kita selalu beranggapan bahawa musibah atau sakit yang menimpa kita adalah merupakan keburukan dan hal yang menyusahkan. Namun, ia tidak semestinya demikian. Boleh jadi ia berupa ujian agar kedudukan kita dinaikkan di sisi-Nya, mungkin juga sebagai penggugur dosa sehingga kita akan kembali kepada Allah dalam keadaan bersih dari dosa-dosa, atau mungkin juga sebagai laluan untuk kita menggapai ganjaran berupa pahala yang besar dari sisi-Nya, dan boleh jadi di sebaliknya terkandung kenikmatan yang besar yang ditangguhkan oleh Allah Ta’ala tatkala kita bersabar dalam mengharunginya.

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) mengatakan:

“Para ulama menjelaskan bahawa orang-orang yang beriman akan mendapatkan banyak ujian (berupa musibah), sama ada pada tubuhnya, keluarganya, ataupun hartanya. Ujian-ujian tersebut berfungsi sebagai penghapus dosanya dan untuk mengangkat darjatnya. Manakala bagi orang-orang kafir, sedikit sekali mendapat ujian berupa musibah. Kalaupun mereka mendapatkan banyaknya musibah, tetap itu tidak menghapuskan dosa-dosanya. Sebaliknya, dia tetap membawa semua dosa-dosanya yang pernah dikerjakannya di hari kiamat nanti.” (Syarh Shahih Muslim, 17/158)

Dari hadis Anas radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ عِظَمَ الجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ البَلاَءِ، وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ، فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا، وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ

“Sesungguhnya pahala yang besar itu berserta dengan ujian yang besar. Dan sungguh, jika Allah mencintai suatu kaum maka Dia pasti menguji mereka. Sesiapa yang redha atas ujian tersebut, maka dia mendapatkan keredhaan Allah, dan sesiapa yang murka, maka dia pun mendapat kemurkaan Allah.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2396)

Beliau Shallallahu 'alaihi wa Sallam juga bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُصِيبُهُ أَذًى إِلَّا حَاتَّ اللَّهُ عَنْهُ خَطَايَاهُ، كَمَا تَحَاتُّ وَرَقُ الشَّجَرِ

“Tidaklah seorang Muslim pun yang tertimpa hal-hal yang menyakitkan (sama ada berupa penyakit ataupun yang lainnya) melainkan Allah akan menggugurkan darinya dosa-dosanya sebagaimana berguguran dedaunan dari pohon-pohon.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5647)

Demikian sebahagian dari hadis-hadis dan ungkapan yang memotivasikan umat Islam yang beriman yang dilanda musibah dan kesakitan. Buku ini mengungkapkan lebih banyak lagi terapi nabawi dalam mengharungi kepelbagaian musibah yang menimpa berupa kesusahan, kepayahan, dan kesakitan.

Penulis dengan usahanya yang amat baik telah menghimpunkan dalil-dalil dari Al-Qur’an dan As-Sunnah sebagai dorongan yang memotivasikan kita semua dalam mengharungi pelbagai musibah yang mungkin tidak terjangkakan. Beliau menjelaskan di sebalik taqdir yang berlaku, pasti ada kebaikan yang hendak Allah kurniakan. Dan bahkan ujian dan musibah itu sendiri adalah taqdir Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bertujuan menguji para hamba-Nya dan membersihkannya dari banyaknya noda dosa yang mengotori.

Penulis kemukakan dalam awal perbahasan bukunya ini dengan maksud di sebalik ujian yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala ke atas para hambanya, apa hikmah-hikmahnya, bagaimana seharusnya kita menyikapinya, dan adakah ada khabar gembira di sebaliknya.

Kemudian penulis jelaskan pula pentingnya sabar dalam mengharungi setiap musibah yang melanda. Dan sabar adalah kunci kebahagiaan sekaligus terapi kedukaan. Penulis kemukakan tentang keutamaan dan bentuk-bentuk sabar sebagaimana diungkapkan Al-Qur’an, hadis-hadis Nabi, dan nasihat-nasihat serta pesan-pesan yang sangat memotivasikan dari kalangan ulama salaf (generasi awal).

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

اسْتَعِينُوا بِاللَّهِ وَاصْبِرُوا إِنَّ الْأَرْضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ

“Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah. Sesungguhnya bumi (ini) adalah milik Allah; diberikan kepada siapa yang Dia kehendaki dari kalangan hamba-hamba-Nya. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Al-A’raaf, 7: 128)

Dalam sebuah hadis, Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ، صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

“Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang yang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” (Shahih Muslim, no. 2999)

Orang-orang beriman yang sempurna dan tulus keimanannya akan sentiasa baik urusannya kerana dia sentiasa bersyukur dan bersabar. Dia sentiasa berada pada kedudukan redha dan merasa cukup. Baginya, kesenangan yang diterima adalah anugerah yang seharusnya dia syukuri, manakala musibah yang menimpa pula adalah ujian yang mampu menaikkan kedudukannya serta membuahkan pahala tanpa batasan dari sisi Allah seandainya dia bersabar.

Pada buku ini, penulis banyak sekali memberikan dorongan dan motivasi berharga dalam mengharungi musibah dan kesakitan yang menimpa. Penulis kemukakan hadis-hadis yang menjelaskan bahawa bagi setiap penyakit itu adalah ujian dari Allah Ta’ala, dan setiap penyakit pasti ada ubatnya. Penulis juga menjelaskan bahawa tidak perlu takut dengan kematian seandainya ia datang menjemput, tetapi hendaklah kita sentiasa membuat persediaan untuk mengharungi saat-saat kematian dengan cara yang benar yang mana setiap manusia pasti akan menghadapinya. Namun dalam masa sama, tidaklah bermakna kita boleh meminta-minta agar usia segera ditamatkan.

Sabar dapat dimaksudkan sebagai pengurusan diri untuk tetap melaksanakan ketaatan terhadap Allah berdasarkan apa yang disyari’atkan dan menahan diri dari apa-apa yang diharamkan-Nya serta bersikap redha terhadap setiap ketentuan taqdir-Nya tanpa berkeluh-kesah atau melampaui batas. Oleh itu, sabar di sini terbahagi kepada tiga keadaan iaitu sabar dalam menjalani ketaatan, sabar dalam menahan diri terhadap kemaksiatan, dan sabar dengan setiap ketentuan taqdir dari Allah Ta’ala.

Kemudian penulis jelaskan pula sebahagian dari bentuk terapi yang syar’i dan dianjurkan sebagaimana dalam hadis-hadis berupa doa-doa penyembuhan sebagaimana dicontohkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam mencari kesembuhan terhadap penyakit yang dihadapi. Penulis juga kemukakan doa-doa anjuran sunnah dalam mengharungi kesusahan, kegusaran, dan kesedihan. Bahkan doa-doa ini adalah senjata yang memotivasikan diri setiap hamba untuk lebih dekat kepada Rabb-nnya.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ الدُّعَاءَ يَنْفَعُ مِمَّا نَزَلَ وَمِمَّا لَمْ يَنْزِلْ، فَعَلَيْكُمْ عِبَادَ اللَّهِ بِالدُّعَاءِ

“Sesungguhnya doa itu bermanfaat untuk meringankan musibah yang telah diturunkan dan mencegah datangnya musibah yang belum diturunkan. Maka hendaklah kalian selalu berdoa wahai hamba-hamba Allah.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3548)

Kemudian penulis teruskan bentangan bahasannya dengan terus mengajak para pembaca meningkatkan semangat untuk terus mendekatkan diri kepada Allah, lebih-lebih lagi di saat datangnya musibah. Penulis membimbing pentingnya takut hanya kepada Allah, memperbanyakkan istighfar dan taubat, berbaik sangka terhadap Allah, optimis terhadap datangnya sihat, menjauhi para dukun dan tukang ramal, tidak disibukkan dengan dunia sehingga melupakan kematian sebagai tujuan, dan perlunya menjauhi sikap berkeluh-kesah dan mengadu-domba sesama makhluk.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُمْ مَتَاعًا حَسَنًا إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ وَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ كَبِيرٍ

“Dan beristighfarlah kepada Rabb-mu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Nescaya Dia akan memberi kepada kalian kenikmatan yang baik sehingga waktu yang ditentukan, dan Dia memberi kepada setiap yang memiliki keutamaan, keutamaannya. Jika kalian berpaling, maka sesungguhnya Aku takut kalian akan ditimpa azab di hari yang besar (Kiamat).” (Surah Huud, 11: 3)

Di akhir buku penuh motivasi ini, penulis bawakan sebuah perbahasan yang memuatkan nasihat-nasihat yang menekankan betapa pentingnya menjaga ibadah kepada Allah walaupun dalam keadaan sedang kepayahan tertimpa musibah atau kesakitan.

Pada perbahasan ini penulis jelaskan bersama bagaimana harus berthaharah ketika sakit, solat ketika sakit, berpuasa, dan bagaimanakah pula ibadah haji hendak dilaksanakan bagi orang yang tiba-tiba tertimpa sakit atau musibah yang seumpamanya.

Tela’ahlah buku bernilai ini. Sungguh benar-benar di dalamnya terkandung sebuah motivasi berharga dan terapi nabawi yang menyembuhkan jiwa bagi setiap insan beriman yang sedang mengharungi badai musibah.

Semoga hati-hati yang gundah mampu tersenyum, jiwa yang berduka akan kembali mekar berbunga. Kita akan segera memahami betapa sesungguhnya Rahmat Allah itu sangatlah Luas.

Write a review

Your Name:


Your Review: Note: HTML is not translated!

Rating: Bad           Good

Enter the code in the box below:



© 2014 ATSAR Enterprise | Galeri Ilmu Ahli Sunnah. All Rights Reserved.

Website tuned by fidodesign.net