Judul: Hadis Palsu & Daif Popular Dalam Masyarakat Melayu | Judul Asal (‘Arab): - | Penulis/Penyusun: Dr. Rozaimi Ramle | Tahqiq/Takhrij: Penyusun | Penterjemah: Penyusun | Penerbit: Karya Bestari | Berat: 310g | Muka Surat: 95 m/s. (Soft cover) | Ukuran buku: 23.7cm (tinggi) x 16.9cm (lebar) x 1cm (tebal) | ISBN: 978-967-86-0657-8 |
Suatu perkembangan yang sihat, apabila sejak akhir-akhir ini ramai kalangan kita suka berkongsi info-info yang bermanfaat melalui media baru. Media baru yang dimaksudkan adalah seperti facebook, whatsapp, istagram, dan seumpamanya. Semua aplikasi ini memudahkan perhubungan dalam jarak dekat mahupun jauh. Pada masa sama, ia juga membantu dalam menyebarkan sesuatu maklumat dalam kadar yang singkat dan pantas. Antara yang dikongsikan melalui medium ini adalah info-info agama, termasuklah ayat Al-Qur’an, hadis-hadis serta kata-kata hikmah.
Persoalannya, adakah semua info berunsurkan agama yang dikongsikan itu betul dan sahih? Khasnya yang berkaitan dengan hadis-hadis Nabi. Ia amat penting untuk memastikan kesahihan hadis sebelum menyebarkannya. Sekiranya hadis yang dikongsikan itu sahih, maka ia akan memberikan banyak manfaat kepada orang lain. Tetapi jika yang berlaku itu sebaliknya maka kita telah melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya atas nama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Suatu hadis yang disandarkan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tanpa dalil dan rujukan muktabar merupakan pendustaan ke atas baginda. Ia adalah perbuatan tidak amanah serta berdosa besar. Mana mungkin kita menyatakan sesuatu yang tidak dilakukan oleh baginda, kemudian kita sandarkan pula perkara tersebut kepadanya. Sedangkan baginda sendiri tidak melakukan perkara tersebut.
Maka, buku dengan judul “Hadis Palsu & Daif Popular” ini pun disusun sebagai satu usaha menyajikan perbahasan tentang hakikat sebanar sebahagian hadis-hadis yang sering kali dikongsi serta berlegar dalam masyarakat kita.
Perbincangan ini merangkumi status hadis, kritikan ke atas perawi yang meriwayatkannya, hujah dan dalil yang menyokong serta apa yang perlu dilakukan oleh kita selaku orang awam berkaitan hadis-hadis ini.
Apabila kita memahami permasalahan ini dengan lebih jelas, maka kita akan berhati-hati untuk beramal atau menyebarkannya.
Semoga bermanfaat.