Judul: Menolak Celaan Terhadap Ulama | Judul Asal (‘Arab): Raf’ul Al-Malaam ‘an Al-Aimmah Al-‘Alaam | Penulis/Penyusun: Ibn Taimiyyah | Tahqiq/Takhrij: Asy-Syaikh ‘Abdurrahman bin Ahmad Al-Jumaizi (dengan rujukan tambahan dari beberapa syarahan ulama pada bahagian nota kaki) | Penterjemah: Ahmad Sabiq dan Team Penerjemah | Penerbit: Kemilau Publika (Selangor) | Berat: 209g | Muka Surat: 109 m/s. (Soft cover) | Ukuran buku: 22.7cm (tinggi) x 15.4cm (lebar) x 0.8cm (tebal) | ISBN: 978-967-3611-76-8 |
Demikian luasnya ilmu di dalam syari’at Islam, sehingga menguasai seluruh hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidaklah pernah berlaku terhadap seorang pun dari umat ini. Tidak kepada para ulama, imam-imam mujtahid, tabi’in, tabi’ut tabi’in, dan para sahabat sekalipun.
Padahal mereka adalah orang-orang yang paling berilmu, faqih, dan bertaqwa, dan paling afdhal dalam Islam.
Kita temui di antara mereka setelah melalui ijtihad-ijtihad tertentu, adakalanya mereka memiliki pendapat atau fatwa yang berbeza-beza dalam satu-satu permasalahan tertentu. Pada satu sisi bersesuaian dengan nash, sebaliknya di sisi yang lain menyelisihi nash.
Banyak faktor yang menjadi penyebabnya. Sebahagian besar kesnya adalah kerana belum sampai hadis atau sunnah yang berkaitan dengannya. Sesiapa yang menyangka bahawa semua hadis yang sahih telah sampai kepada setiap imam atau atau ulama tertentu, sebenarnya ia telah terjatuh ke dalam kesalahan yang nyata.
Kerana kesan dari anggapan ini adalah menjatuhkan hukuman dan celaan di ketika mana ucapan dan pendapat mereka tersalah tanpa memandang sebab-sebabnya, sedangkan mereka tidak sengaja menyelisihi sunnah-sunnah Rasulullah.
Buku yang disusun oleh Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah (Wafat: 728H) ini adalah sebuah risalah khusus yang menjelaskan kedudukan sebenar mengapa boleh berlaku perselisihan di kalangan para ulama dalam satu-satu isu tertentu.
Al-Imam Adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H) berkata:
“Setiap orang boleh diambil dan ditolak pendapatnya, kecuali Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Namun jika seseorang imam itu tersilap dalam ijtihadnya, tidak wajar untuk kita melupakan kebaikan-kebaikannya dan menutup amalan-amalan makrufnya. Bahkan kita beristighfar (memohonkan keampunan) untuknya dan memaafkannya.” (Siyar A’lam An-Nubala, 18/157)
Perselisihan pendapat adalah suatu fitrah yang tidak mungkin dapat dielak oleh manusia. Sama ada di dalam urusan agama, mahupun kehidupan seharian, perkara ini kerana berbezanya tahap kecerdasan dan kefahaman manusia. Perselisihan dalam penetapan suatu hukum telah pun berlaku sejak zaman para sahabat lagi, dan akan berterusan sehingga hari ini, bahkan sehingga hari kiamat.
Buku yang berada di tangan anda ini, di antara perbahasannya adalah merungkai tentang;
1, Kenapa terdapat ulama menyelisihi hadis sahih?
2, Terdapat sahabat yang tidak sampai kepada mereka hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
3, Kesan perselisihan hadis terhadap perselisihan pendapat ulama.
4, Adakah ulama dianggap telah menghalalkan yang haram jika mereka menyelisihi hadis yang mengharamkan sesuatu perbuatan?
Tidak syak lagi, karya Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah ini begitu bernilai untuk difahami dan dijadikan panduan untuk mengharmonikan perbalahan dan percakaran yang timbul akibat dari ketidak fahaman umat islam di dalam menyantuni perselisihan pendapat.
Semoga bermanfaat.