Senarai Penerbit
Categories
Maklumat Akaun

Dapatkan Sekarang

Misteri Takdir, Ketentuan Allah Yang Mesti Diyakini

Misteri Takdir, Ketentuan Allah Yang Mesti Diyakini
Terbitan: Pustaka Inabah
Product Code: Pustaka Inabah
Ukuran Buku: (Tinggi x Lebar x Tebal)(cm) 23.4 x 15.3 x 1.8

ISBN: 9789791002165
Availability: Out Of Stock
Price: RM40.00
Qty:     - OR -   Add to Wish List
Add to Compare

Judul: Misteri Takdir, Ketentuan Allah Yang Mesti Diyakini | Judul Asal (‘Arab): Al-Imaan bil Qada’ wal Qadar | Penulis/Penyusun: Muhammad bin Ibrahim Al-Hamd | Tahqiq/Takhrij: Penulis | Penterjemah: Ahmad Syaikhu | Penerbit: Pustaka Al-Inabah | Berat: 487g | Muka Surat: 332m/s. (Soft cover) | Ukuran buku: 23.4cm (tinggi) x 15.3cm (lebar) x 1.8cm (tebal) | ISBN: 978-979-1002-16-5 |


Ilmu yang paling mulia dan paling penting adalah ilmu tentang ‘aqidah. Kerananya, nikmat yang paling besar dan paling sempurna adalah memiliki ‘aqidah Islam yang jelas, ‘aqidah yang sesuai dengan fitrah dan akal. ‘Aqidah yang bebas dari pelbagai bentuk percanggahan, perselisihan, kebimbangan, keragu-raguan, syubhat dan kesamaran. ‘Aqidah yang kata-katanya mudah difahami dan makna-maknanya mudah dicerna, sama ada oleh orang alim mahupun orang awam, anak kecil ataupun dewasa.

Ia adalah ‘aqidah yang bersumber dari Al-Qur’an dan As-Sunnah. Kerananya, dalil-dalilnya pun sangat mudah difahami hanya dengan sekali fikir dan dengar, maka setiap makhluk pasti ingin memilikinya.

‘Aqidah adalah umpama makanan yang diperlukan oleh setiap orang. Bahkan ia laksana air yang sentiasa diperlukan oleh semua manusia. Sama ada anak kecil dari kalangan bayi yang masih menyusu mahupun yang telah dewasa dan tua, tanpa mengira orang yang kuat mahupun yang lemah.

Ya, ‘aqidah yang bersumber dari dalil-dalil Al-Qur’an dan As-Sunnah akan sentiasa tampak jelas dan memuaskan akal. Ia ibarat air bersih yang mengalir dari sumber yang jernih, sentiasa diperlukan setiap hidupan yang dahagakannya. ‘Aqidah yang bersih dan murni pasti akan menenangkan jiwa sekaligus menanamkan keyakinan yang benar dan yakin ke lubuk sanubari.

Kita semua tahu, bahawa Dzat yang mampu menciptakan tentu lebih mampu untuk sekadar menghidupkan kembali.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَهُوَ الَّذِي يَبْدَأُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ وَهُوَ أَهْوَنُ عَلَيْه

“Dialah yang menciptakan (manusia) dari permulaan, kemudian mengembalikan (menghidupkan)nya kembali, dan menghidupkan kembali itu adalah lebih mudah bagi-Nya..” (Surah Ar-Rum, 30: 27)

Kita juga tahu, bahawa dalam satu rumah tidak mungkin ada dua pihak yang sama-sama menjadi ketua dan bertugas mengendalikan rumah-tangga. Lalu bagaimana dengan alam semesta ini?

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

لَوْ كَانَ فِيهِمَا آلِهَةٌ إِلَّا اللَّهُ لَفَسَدَتَا

“Sekiranya di langit dan di bumi ada sembhan-sembahan selain Allah, tentulah keduanya telah rosak binasa...” (Surah Al-Anbiya’, 59: 22)

Bahkan kita juga tahu, bahawa Dzat yang menciptakan pasti juga memiliki kemampuan untuk mengetahui, sama ada sebelum mahu pun setelah Dia menciptakan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

أَلَا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ (14)

“Adakah Allah yang menciptakan itu tidak mengetahui (yang engkau tampakkan atau rahsiakan); dan Dia Maha Halus lagi Maha Mengetahui (secara terprinci).” (Surah Al-Mulk, 67: 14)

Dalil-dalil yang telah disebutan dan yang semisalnya adalah seumpama air yang Allah jadikan sebagai sumber kehidupan.

Demikianlah, dan perbahasan terpenting dalam ‘aqidah adalah perbahasan tentang taqdir. Kerananya, perbahasan ini perlu dijabarkan dan diperjelaskan dengan sejelas-jelasnya, sebagaimana perbahasan-perbahasan ‘aqidah yang lainnya. Bahkan, perbahasan tentang taqdir ini memiliki sedikit keunikan berbanding yang lainnya. Ini adalah kerana orang-orang awam justru lebih memahami perkara ini berbanding ahli kalam dan para filosof. Sebab, permasalahan ini adalah sesuatu yang sifatnya biasa atau natural, yang jika semakin diperhalusi dan dipersoalkan maka akan semakin sulit untuk dimengerti.

Iman kepada taqdir adalah perkara yang bersifat fitrah. Bangsa ‘Arab, sama ada pada masa Jahiliyyah mahupun Islam, tidak pernah mengingkari taqdir, sebagaimana perkara ini telah ditegaskan oleh seorang ahli bahasa, yakni Ahmad bin Yahya Ats-Tsa’lab dalam pernyataannya:

“Di tengah-tengah bangsa ‘Arab hanya ada yang menetapkan taqdir yang baik dan yang buruk, sama ada semasa Jahiliyyah ataupun setelah mereka masuk Islam.”

Pengakuan mereka (dari kalangan ‘Arab jahiliyyah) terhadap taqdir ini tersebar dalam sya’ir-sya’ir dan khutbah-khutbah mereka, sebagaimana yang akan diterangkan nanti dalam perbahasan buku ini tentang dalil-dalil taqdir. Mereka menyakini taqdir dan tidak mengingkarinya, walaupun keyakinan mereka tersebut tercemari oleh kebathilan dan kebodohan dalam memahami hakikat taqdir.

Kita melihat (yakni sebagai contoh) Zuhair bin Abi Sulma (tokoh penya’ir ‘Arab) mengatakan dalam mu’allaqahnya yang masyhur:

Jangan menyembunyikan kepada Allah apa yang terdapat dalam diri kalian

agar tersembunyi,

kerana, meskipun disembunyikan Allah tetap mengetahuinya,

dia menunda, lalu diletakkan dalam kitab untuk disimpan bagi hari Penghisaban, atau disegerakan untuk diberi balasan.

Di tempat lainnya, dalam mu’allaqah tersebut, beliau mengatakan:

Aku melihat kematian seperti jalannya unta yang lemah penglihatannya,

siapa yang terlanggar (tersadung), maka ia mematikannya,

dan siapa yang luput darinya, maka ia tetap hidup hingga menemui masa tua.

Zuhair bin Abi Sulma tidak mengingkari taqdir. Beliau hanya mengumpamakannya seperti unta yang lemah penglihatannya yang sedang berjalan. Siapa yang tersadung atau terlanggar dengan unta tersebut maka dia akan mati, dan siapa yang luput darinya maka dia akan tetap hidup.

Ini adalah kebodohan dan kekeliruan dalam soal taqdir. Sebab, kematian itu sudah tertulis dan ditentukan. Ini sebagaimana yang ditegaskan oleh orang-orang ‘Arab Jahiliyyah lainnya, seperti ‘Amir bin Kultsum, seorang penya’ir mu’allaqah, beliau mengatakan:

Bagaimana pun, kematian akan sampai kepada kita

kerana ia sudah ditentukan untuk kita.

Begitu juga dengan Labid bin Rabi’ah Al-‘Amiri mengatakan dalam mu’allaqahnya yang masyhur, ketika beliau menyifatkan lembu liar dan keadaannya bersama haiwan-haiwan liar yang berbahaya:

Binatang-binatang liar mengintai kelengahannya lalu menerkamnya

Sesungguhnya kematian tidak pernah luput bidikan anak panah-Nya.

Ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam diutus, beliau menjelaskan perkara ini (sebagaimana perkara-perkara yang lainnya) dengan penjelasan yang sempurna, pernyataan-pernyataan beliau yang singkat dan padat lagi bermanfaat dalam permasalahan ini dan yang lainnya sangat memadai dan mencukupi, menghimpun dan memisahkan, menjelaskan dan menerangkan, serta berkedudukan sebagai tafsir dan penjelasan terhadap apa yang terkandung dalam Al-Qur’an.

Lalu persoalan tersebut dibaca, diterima dan dicerna oleh para Sahabat sepeninggalan beliau, lalu mereka mengikuti jalan dan manhaj beliau yang lurus. Sehingga lahirlah pelbagai pernyataan mereka yang memadai dan positif, juga ringkas dan bermanfaat. Ini adalah kerana mereka dekat dengan masa kenabian dan menerima langsung dari misykah (cahaya) kenabian, yang merupakan sumber segala cahaya dan segala kebajikan sekaligus lubuk dasar segala petunjuk. Itulah perkara yang menjadikan mereka sebagai manusia yang paling bijak dan lurus pemahamannya terhadap permasalahan ini; paling beriman kepadanya dan paling mengamalkan kandungannya. Keimanan tersebut sangat berpengaruh pada diri mereka, sehingga mereka menjadi manusia yang paling bertaqwa, paling mulia, dan paling berani sesudah para Nabi ‘alaihimus Salam.

Kemudian jejak mereka diikuti dengan baik oleh generasi setelah mereka (yakni manusia dari kalangan Tabi’in). Para Tabi’in itu mengikut jejak mereka, menempuh jalan mereka, mengajak kepada apa yang menjadi ajakan mereka, dan mengikuti apa-apa yang menjadi pegangan mereka.

Setelah itu, menjalarlah pada umat ini penyakit yang menimpa umat-umat lainnya, lalu mereka mengikuti tradisi umat sebelumnya. Masuklah pemikiran-pemikiran dan falsafah-falsafah dari kaum Yunani, India, Parsi, dan yang lainnya ke negeri-negeri kaum Muslimin. Maka, muncullah bid’ah Qadariyyah di Bashrah dan Damaskus. Lalu terjadilah kesyirikan yang pertama kali dalam umat ini, iaitu mengingkari taqdir, semua ini terjadi pada akhir era generasi Sahabat radhiyallahu ‘anhum. Para sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik pun mengingkari bid’ah ini dan mengisytiharkan bahawa mereka berlepas diri dari bid’ah tesebut beserta para pelakunya.

Kemudian datanglah para ulama Salaf, mereka menentang bid’ah tersebut dan menjelaskan penyimpangannya; menyingkap tirainya dan mengungkap kebatilannya. Bahkan, mereka juga memenangkan kebenaran dan menyebarkannya serta mengajak umat kepadanya.

Dan hakikat keimanan terhadap taqdir yang benar tersebut terus diungkap oleh para pengikut salaf dari generasi ke generasi sampailah hari ini. Ilmu-ilmu yang jernih tentangnya terus tersebar dengan dalil-dalil wahyu dan kefahaman yang benar, menewaskan pelbagai kerancuan dan syubhat. InsyaAllah, hal inilah yang diketengahkan melalui buku ini sekaligus menjadi bantahan yang terang atas orang-orang yang mengingkari taqdir (dari kalangan manusia berpemikiran qadariyyah) dan yang terlalu berlebih-lebihan dalam berserah kepada taqdir semata dengan meninggalkan amal (dari kelompok yang berpemikiran jabbariyyah), sedangkan ahlus sunnah adalah kelompok yang pertengahan di antaranya.

Beberapa Catatan Pentingnya Perbahasan Taqdir

1, Taqdir memiliki kaitan yang erat dengan iman kepada Allah, kerana ia adalah ketetapan Allah. Maka sesiapa yang beriman kepada taqdir, bermakna dia beriman kepada Allah, dan siapa yang mendutakannya bermakna dia telah mendustakan Allah.

Selain itu, taqdir juga berkait erat dengan hikmah, ilmu dan kehendak Allah.

2, Perbahasan taqdir banyak disebutkan dalam dalil-dalil wahyu Al-Qur’an dan As-Sunnah sekaligus menjadi kewajiban kita untuk memahami dan mengimaninya.

3, Taqdir termasuk perbahasan aqidah yang besar, dan setiap manusia pasti membicarakannya sama ada mereka muslim ataupun bukan muslim. Bahkan bentuk kefahaman terhadap taqdir menjadi titik pembeza antara kelompok sesat dengan kebenaran, antara kafir dan muslim.

4, Taqdir memiliki kaitan erat dengan kehidupan dan keadaan seharian manusia. Yakni dalam setiap kejadian dan situasi yang berada di luar jangkauan keinginan dan pengaruh manusia.

5, Perbahasan tentang taqdir termasuk perbahasan yang agak pelik dan rumit sehingga menimbulkan banyak perdebatan dan menjadi ujian kepada kabanyakan manusia yang mengakibatkan mereka tersesat dari kebenaran disebabkan menyelisihi kefahaman yang benar dalam memahaminya.

6, Pentingnya memahami taqdir dengan cara yang benar adalah agar membuahkan pahala sekaligus ketenangan dalam menghadapi setiap ketentuan Allah. Apabila hal ini dapat difahami dan diimani dengan benar dan ianya dihadapi dengan sikap yang benar, pasti kebahagiaan akan menyusul dan akibatnya adalah kebahagiaan, akhlak yang baik, dan tekad yang baik.

7, Jahil terhadap taqdir dan gagal memahami dengan benar akan mengakibatkan kepada kemurungan, kesengsaraan, dan bahkan adzab dari Allah.

Ini dapat kita perhatikan dalam realiti kehidupan di kalangan masyarakat kafir, kes-kes huru-hara, bunuh diri, ketakutan pada diri sendiri, saling berbunuhan, kehilangan keyakinan, keputus-asaan, kecemasan tak tentu hala, tidak dapat menerima kenyataan, menjadi sebab berfikir atau berimaginasi yang bukan-bukan, dan seumpamanya sering berlaku dalam kalangan mereka.

Demikian pula apa yang benyak berlaku dalam kalangan umat Islam akhir-akhir ini. Apa yang menyebabkan mereka menjadi bangsa yang terkebelakang adalah kerana kejahilan dan penyimpangan mereka terhadap perkara-perkara aqidah termasuk perkara taqdir.

Antaranya mereka menjadikan taqdir sebagai alasan kelemahan dan bermalas-malasan sehingga mereka pun menjadi mundur, hilangnya tekad dan semangat untuk berusaha dan beramal.

Dari hal ini semua, mudah-mudahan umat Islam segera beringat dan sedar dari kelalaian mereka seraya bergegas untuk memperdalamkan ilmu yang benar dalam hal aqidah, khasnya berkaitan taqdir.

Ketahuilah, bahawa hanya dengan ilmu yang benar sahaja kebaikan dan keberkahan hidup akan dapat dicapai. Hanya dengan ilmu yang benar, amal-amal akan menjadi benar dan akibatnya akan menjadi benar dan berkesudahan dengan kebaikan dan kebahagiaan.

Semoga bermanfaat.

Semak Cara Membuat Belian dan Pesanan

Write a review

Your Name:


Your Review: Note: HTML is not translated!

Rating: Bad           Good

Enter the code in the box below:



© 2014 ATSAR Enterprise | Galeri Ilmu Ahli Sunnah. All Rights Reserved.

Website tuned by fidodesign.net