Judul: Sunan Asy-Syafi’i | Judul Asal (‘Arab): As-Sunan Al Ma’tsurah li Imam Asy-Syafi’i | Penulis: Abu Abdullah Muhammad bin Idris Asy-Syafi’i | Ta’liq/Takhrij/Tahqiq: Abu Ibrahim Khalil Ibrahim Mull Khatir | Penerbit: Pustaka Azzam | Penterjemah: Ahmad Khotib | Berat: 1683gram | Muka Surat: 660 m/s. + 536 m/s (2 Jilid lengkap, Hard cover)
Kitab ini adalah kitab As-Sunan karya Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah (atau nama lengkap beliau Muhammad bin Idris), yang sudah sekian lama tersimpan sebagai satu lagi khazanah ilmu.
Meskipun kitab ini terlihat tidaklah tebal dan hadit-hadisnya pun tidaklah banyak, namun kitab ini dapat dianggap sebagai kitab yang sangat penting, sebagaimana yang akan terlihat jelas di sela-sela perbahasan mendatang. Itu kerana sebahagian besar dari hadis dalam kitab ini, terdapat di dalam Shahih Al-Bukhari dan Shahih Muslim atau salah satunya, dan tidak ada hadis dalam kitab ini yang tertera di luar kitab hadis yang enam kecuali beberapa saja, yang tak lebih dari hitungan jari.
Selain itu, hadis-hadis yang terdapat dalam kitab ini pun dapat dianggap sebagai hadis-hadis dasar yang berkaitan dengan hukum. Semua ini sebagaimana yang akan dipaparkan nanti, insya-Allah.
Pentahqiq kitab ini telah meneliti kitab ini dan beliau mengungkapkan akan betapa besarnya kegunaan dan banyaknya manfaat padanya. Kitab ini menurut pentahqiq telah bersambung sanadnya melalui pebagai jalur periwayatan sampai kepada penyusunannya, iaitu Al-Imam Asy-Syafi’i. Para ulama juga menaruh perhatian yang demikian besar terhadap kitab ini. Hal ini terlihat jelas dari banyaknya periwayatan kitab ini melalui metode sima’ah, qira’ah dan ijazah, sebagaimana yang akan dijelaskan oleh pentahqiq pada muqaddimah.
Menurut pentahqiq, kitab ini merupakan salah satu kitab yang disusun langsung oleh Al-Imam Asy-Syafi’i. Menurutnya lagi, kitab ini disusun langsung oleh Al-Imam Asy-Syafi’i dan diriwayatkan oleh muridnya iaitu Al-Imam Al-Muzani rahimahumallah. Kitab ini merupakan salah satu dari enam kitab yang seluruhnya menggunakan nama As-Sunan, yang diriwayatkan oleh murid-murid Imam Asy-Syafi’i.
Sedangkan kitab-kitab Sunan Asy-Syafi’i yang lainnya, semua itu sudah tidak ada lagi, kecuali yang dipaparkan oleh Al-Baihaqi dalam kitabnya Ma’rifah As-Sunan wa Al-Atsar dan yang dikemukakan oleh Ibnu Al-Atsir Al-Jazari dalam kitabnya Asy-Syafi fi Syarhi Musnad Asy-Syafi’i, di mana kedua-dua kitab ini mencakup beberapa kitab Imam Asy-Syafi’i, seperti Sunan Harmalah, Marwiyat Az-Za’farani, Al-Karabisi, Al-Buwaithi, Ibnu ‘Abdil Hakam... di samping keduanya juga mencakup hadis-hadis yang tertera dalam kitab Al-Musnad dan lainnya, dari jalur Ar-Rabi’ bin Sulaiman Al-Maradi.
Kitab As-Sunan ini (bagi edisi asal ‘Arabnya) dicetak pada tahun 1315H (dari manuskrip asal) sebagai cetakan pertamanya, namun cetakan ini seperti sangat tergesa-gesa kerana mengandung pelbagai kesilapan dan salah tulis.
Setelah beberapa ketika berlalu, pentahqiq (yakni Abu Ibrahim Khalil Ibrahim) berusaha menghimpun semula menuskrip-menuskripnya yang asal, meskipun tidak semuanya beliau jadikan pedoman dalam proses penilaian keabsahan (proses tahqiq) atas beberapa faktor menghalang, namun begitu menurut beliau manuskrip yang ada di tangannya pun sudah sangat terjamin kredibiliti dan keabsahannya, meskipun antara menuskrip-manuskrip tersebut terdapat sedikit perbezaan di hampir sebahagian besar sub-perbahasan.
Melalui pentahqiqan kitab ini, pentahqiq (Khalil Ibrahim) akan memaparkan penelitian mengenai sisi-sisi keunggulan kitab ini, dan keabsahan penisbatannya kepada penyusunnya iaitu Al-Imam Asy-Syafi’i. Setelah itu, beliau memaparkan secara ringkas biografi para periwayat yang namanya tercantum dalam kitab ini, serta penjelasan umum mengenai naskah yang beliau jadikan rujukan dalam melakukan pentahqiqan, metode yang beliau gunakan dalam mentahqiq kitab ini, dan men-takhrij hadis-hadisnya.
Nukilan Para ulama Tahqiq Terdahulu Tentang Kewujudan Kitab Sunan Asy-Syafi’i
Al-Imam Ibnu ‘Abdil Barr berkata pada biografi Quhzam bin Abdillah bin Quhzam Al Asnawi:
“Dia (Quhzam) bersahabat dengan Imam Asy-Syafi’i, berguru kepadanya, dan mencatat darinya pelbagai kitabnya. Dia (Quhzam) juga meriwayatkan darinya sepuluh jilid kitab As-Sunan.”
Ibnu ‘Abdil Barr menyebutkan pada biografi Muhammad bin ‘Abdillah bin ‘Abdil Hakam:
“Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdil Hakim berkata, “Aku mendengar dari Imam Asy-Syafi’i bahawa kitab Ahkam Al-Qur’an itu 40 jilid ... sedangkan yang ada di tangan kita hanyalah 2 jilid As-Sunan.”.”
Ibnu ‘Abdil Barr berkata pada biografi Harmalah bin Yahya At-Tujibi:
“Beliau (Harmalah bin Yahya At-Tujibi) meriwayatkan pelbagai kitab dari Imam Asy-Syafi’i yang tidak diriwayatkan oleh Ar-Rabi’ ... di antaranya adalah kitab As-Sunan sebanyak sepuluh bahagian.”
Al-Imam Al-Baihaqi berkata:
“Imam Asy-Syafi’i memiliki sebuah kitab As-Sunan ... yang diriwayatkan dari Harmalah bin Yahya Al-Mashri dan Abu Ibrahim Ismail bin Yahya Al-Muzani.”
Al-Baihaqi juga berkata:
“Sudah sejak lama sekali Imam Asy-Syafi’i menyusun sebahagian besar dari kitab-kitab yang diriwayatkan darinya oleh Al-Hasan bin Muhammad bin Ash-Shabah Az-Za’farani, di antaranya adalah kitab As-Sunan...”
Ar-Rabi’ bin Sulaiman berkata:
“Asy-Syafi’i bermukim di sini selama 4 tahun, dan beliau menyumbangkan 1500 lembar. Dia juga mengeluarkan kitab Al-Umn sebanyak 2000 lembar, kitab As-Sunan, dan banyak lagi lainnya, selama 4 tahun.”
Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata dalam Lisan Al Mizan, pada penyebutan biografi Al-Imam Ath-Thahawi:
“Abu Sa’id bin Yunus berkata dalam Tarikh Mishr, “Pertama kali, beliau (Abu Sa’id bin Yunus) mempelajari fiqih kepada pakciknya dari pihak ibunya, iaitu Abu Ibrahim Ismail Al-Muzani, sahabat (dan murid) Imam Asy-Syafi’i. Dari Al-Imam Al-Muzani, beliau mendengar kitab As-Sunan yang diriwayatkan (oleh Al-Muzani) dari Imam Asy-Syafi’i. Juga kitab yang lainnya.”
Semoga bermanfaat.