Judul: Amalan Penghibur di Alam Kubur | Judul Asal (‘Arab): Jarayaahu Al-Hasanaati Ba’da Al-Mamaati | Penulis: Fahd bin ‘Abdurrahman Asy-Syuwaib | Penerbit: Pustaka Imam Asy-Syafi’i | Berat: 200gram | Muka Surat: 94 m/s. (Soft cover)
Di antara yang menjadi bukti luasnya kurnia dan kasih sayang Allah ke atas para hamba-Nya adalah apabila seorang yang telah meninggal dunia dan telah bersiap untuk menerima balasan amalnya masih diberi kesempatan untuk menerima pahala kebaikan yang mengalir.
Secara umumnya, bagi setiap orang yang telah meninggal dunia maka terputuslah segala bentuk aliran pahala kebaikan padanya.
Ini adalah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
أَلا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى (٣٨) وَأَنْ لَيْسَ لِلإنْسَانِ إِلا مَا سَعَى
“Bahawasanya seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain, dan bahawasanya seorang manusia tidak mendapat selain apa yang telah diusahakannya.” (Surah An-Najm, 53: 38-39)
Juga sebagaimana firman-Nya yang menjelaskan bahawa seseorang itu mendapat pahala dan mendapat dosa berdasarkan apa yang dia kerjakan, bukan dari hasil amalan orang lain:
لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ
“Dia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.” (Surah Al-Baqarah, 2: 286)
Namun di sana ada beberapa pengecualian berupa pintu-pintu yang dikhususkan oleh Allah yang dengannya pahala dari amal-amal kebaikan terus sampai kepadanya.
Di antara pintu-pintu tersebut adalah hasil sedekah jariyah yang pernah dia lakukan di dunia, ilmu yang dia ajarkan yang terus dimanfaatkan, amalan kebaikan dari anak-anaknya yang soleh serta doa-doa kaum muslimin ke atasnya.
Dan perkara inilah yang dibahaskan dalam buku ini, iaitu berupa amal-amal kebaikan yang bermanfaat kepada si mati dan perkara yang terus dapat mengalirkan pahala walaupun setelah kita meninggal dunia.
Di dalam buku ini penulis berusaha menyenaraikan jenis-jenis amal soleh yang bermanfaat tersebut berserta dengan dalil-dalil dan rinciannya. Di antara amal-amal tersebut adalah seperti mengurus jenazah, solat jenazah, puasa untuknya dari ahli warisnya, menghajikannya oleh ahli warisnya, doa-doa anak yang soleh dan kaum muslimin secara umum, amalan kebaikan yang dilakukan oleh anak-anaknya, melaksanakan nadzar untuknya, sedekah atas namanya, melunaskan hutang-piutangnya, wakaf kebaikan atas namanya, dan banyak lagi yang lainnya yang semua ini dirincikan siap dengan syarat dan ketentuannya.
Di samping itu, penulis juga turut membahaskan beberapa bentuk amalan popular yang dilakukan dalam rangka mencari kebaikan untuk si mati namun tidaklah bermanfaat dan tidak pula didukung oleh dalil yang benar. Di antara amalan-amalan tersebut adalah seperti membacakan Al-Qur’an atau surah-surah tertentu ke atas si mati, menghidangkan makanan untuk orang yang datang memberikan ta’ziyah, membacakan Al-Qur’an di kuburan si mati, mengadakan haul dan peringatan atas si mati, menanam pokok-pokok di atas kubur si mati, menghias kubur si mati, dan beberapa lagi yang lainnya.
Semoga bermanfaat dan agar amal-amal kita sentiasa di atas manhaj yang benar serta diterima oleh Allah sebagai amal-amal kebaikan yang membuahkan pahala dari sisi-Nya.