Judul: Perjalanan Ke Akhirat... Saat Dijemput maut hingga ke tempat keabadian | Judul Asal (‘Arab): Haadimul Ladzdzaat | Penulis: Abu Islam Ahmad bin ‘Ali | Penerbit: Pustaka Ibnu ‘Umar | Berat: 0.3kg | Muka Surat: 287 m/s. (Soft cover).
Saudaraku seiman, ketika kita menjejakkan dua kaki ini ke dunia, sebenarnya kita sedang melakukan safar (sebuah perjalanan) besar menuju sebuah kesudahan milik Rabb yang Maha Agung. Sebuah perjalanan dari dunia yang fana menuju sebuah destinasi kekal abadi.
Di dunia, perjalanan kita adalah amat-amat singkat. Tetapi, itulah yang bakal menentukan di mana kedudukan kita di destinasi kekal abadi nanti. Di dunia adalah tempat persinggahan bagi meraih seberapa banyak bekalan menuju akhirat. Manakala di akhirat, ia adalah tempat menuai hasilnya, sama ada baik atau sebaliknya.
Kata Nabi ﷺ:
كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ وَعُدَّ نَفْسَكَ فِي أَهْلِ القُبُورِ
“Jadilah engkau di dunia ini seperti orang asing, atau orang yang sedang melintasi jalan, dan anggaplah dirimu sebagai (bakal) ahli kubur.”
Berkata Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma:
إِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تُحَدِّثْ نَفْسَكَ بِالمَسَاءِ، وَإِذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تُحَدِّثْ نَفْسَكَ بِالصَّبَاحِ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ قَبْلَ سَقَمِكَ وَمِنْ حَيَاتِكَ قَبْلَ مَوْتِكَ فَإِنَّكَ لَا تَدْرِي يَا عَبْدَ اللَّهِ مَا اسْمُكَ غَدًا
“Apabila engkau memasuki pagi hari, maka janganlah engkau mengatakan pada dirimu untuk menunggu petang hari. Dan apabila memasuki petang hari, maka jangan engkau mengatakan pada dirimu untuk menunggu pagi hari. Ambillah masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu, dan ambillah dari hayatmu sebelum datang matimu. Kerana sesungguhnya engkau tidak tahu wahai hamba Allah, apakah namamu pada keesokan hari (yakni adakah masih hidup atau sudah bergelar si mati – pent.).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2333)
Buku yang anda tatap ini...,
Awal perbahasannya adalah berkaitan mulanya saat kematian datang menjemput. Datangnya ia menandakan berakhirlah sudah perjalanan hidup di dunia yang fana. Tiada siapa yang mampu lari dari kematian dan meninggalkan dunia yang fana. Kematian pasti datang menerpa bila sampai masanya tanpa mengira usia, pangkat, darjat dan kekayaan.
Dengan kematian, bermulalah perjalanan di dunia seterusnya. Ikuti perbahasan sebuah perjalanan di alam setelah kematian, sebuah alam sebenar yang kekal abadi. Melalui buku ini, anda akan dibawa menyelusuri sebuah kehidupan setelah mati bermula dari saat datangnya maut, peristiwa alam kubur, hari kiamat dan hisab, tiupan sangkakala, adanya syafa’at, perhitungan dan hari pembalasan, timbangan amal, melintasi titian shiraath, singgah di telaga haudh, antara syurga dan neraka, kisah bidadari syurga, dan akhirnya melihat Allah di Syurga. [Disediakan oleh Atsar Ent.]