Judul: Membongkar Dunia Klenik & Perdukunan Berkedok Karomah | Penulis: Zainal Abidin B. Syamsudin | Penerbit: Pustaka Imam Abu Hanifah | Berat: 400g | Muka Surat: 265m/s.
Keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap konsep “perubatan alternatif” yang berbau mistik dan keajaiban dengan sandaran atas nama agama masih begitu kuat sekali. Walaupun ianya jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip agama itu sendiri.
Walau apapun gelarannya, seperti dukun, pawang, bomoh, orang pintar, pak ustaz, tok kiyai, tuan wali, tuan guru dan seumpamanya, hakikatnya ia tetap sama. Iaitu sama-sama dalam penyimpangan yang merosakkan aqidah umat Islam. Aktiviti dan amalan operasi mereka yang sering-kali di-atasnamakan atau dibalut dengan simbol-simbol agama Islam telah sangat banyak memperdayakan orang awam serta menimbulkan banyak kekecohan serta penipuan.
Dari itu, sewajarnyalah kita semua berusaha memahami sipakah dia yang dimaksudkan dengan dukun, pawang, tuan guru, serta rakan-rakan seangkatan mereka yang sebenarnya. Apakah ciri-ciri mereka? Kenapa mereka dianggap menyimpang dari aqidah Islam sedangkan mereka dilihat sebagai pengamal perubatan Islam? Bagaimanakah mengenali dan mematahkan sepak terajang mereka, dan apakah bentuk-bentuk kejahatan mereka terhadap masyarakat dan agama. Bagaimana mereka boleh berhubung dengan jin dan syaitan bagi menjayakan misi kesyirikan mereka. Bagaimana untuk berhadapan dan mendinding diri dari semua gangguan mereka? Apakah sebenarnya yang dimaksudkan sebagai perubatan Islam itu sendiri?
InsyaAllah, semuanya berusaha dijawab melalui buku yang berada di hadapan anda ini. Penulis berusaha mengulas dan mengupas pelbagai praktik kesyirikan dan sepak terajang dunia perdukunan yang bertopengkan karomah, nama ustaz dan agama Islam. Di samping itu, buku ini turut dilengkapi dengan nota tentang konsep perubatan Islam yang sebenar sama ada dari kaca mata sains mahupun doa (ruqyah). Ia turut membentangkan tatacara menghindarkan diri dari gangguan syaitan dan sihir serta cara-cara menghilangkannya apabila terkena berpandukan dalil-dalil yang benar.
Semoga buku ini dapat memberi sedikit-sebanyak pendedahan, input, dan maklumat yang bermanfaat agar diri kita semua terhindar dari pelbagai bentuk kesyirikan ajaran si wali syaitan.
Ingatlah Amaran Rasulullah tentang Kahin dan ‘Arraf (Tukang Tilik atau Bomoh)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ
“Sesiapa yang mendatangi kahin, atau ‘arraf, kemudian membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” [Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Ath-Thabrani, Al-Baihaqi, dan Al-Hakim. Dinilai sahih oleh Al-Hakim, Adz-Dzahabi, Al-Haitsami, dan Al-Albani]
Rincian:
“Kahin” adalah mereka yang mengaku tahu perkara ghaib tanpa melalui tilikan atau teknik tertentu, manakala “‘arraf” pula adalah tukang ramal, tukang tilik, bomoh, atau mereka yang mengaku mampu mengkhabarkan perkara ghaib dengan teknik atau ritual tertentu.
Imam Ath-Thahawi rahimahullah menegaskan di Kitab aqidahnya:
وَلَا نُصَدِّقُ كَاهِنًا وَلَا عَرَّافُا، وَلَا مَنْ يَدَّعِي شَيْئًا يُخَالِفُ الْكِتَابَ وَالسُّنَّةَ وَإِجْمَاعَ الْأُمَّةِ
“Kami (ahli sunnah wal-jama’ah) tidak mempercayai kahin dan tidak pula ‘arraf, demikian juga setiap mereka yang mengakui sesuatu yang menyelisihi al-Kitab dan as-Sunnah serta ijma’ kaum muslimin.” [‘Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Tahzib Syarah Ath-Thahawiyah, 2/90, Pustaka At-Tibyan]
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menegaskan:
مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
“Sesiapa yang mendatangi ‘arraf, lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka solatnya tidak akan diterima selama empat puluh malam.” [Shahih Muslim, no. 2230]
Nota: Walaupun kahin atau ‘arraf tersebut mengaku menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an dan dzikir-dzikir tertentu.