Judul: Hilyatul Auliya’ (Sejarah & Biografi Ulama Salaf) Jilid 13, Generasi Tabi’in Penduduk Syam | Judul Asal ('Arab): Hilyatul Auliya’ wa Thabaqatul Asyfiya’ | Tahqiq: ‘Abdullah Al-Minsyawi, Muhammad Ahmad ‘Isa, & Muhammad ‘Abdullah Al-Hindi | Penulis: Al-Hafiz Abu Nu’aim Al-Ashfahani rahimahullah (Wafat: 430H) | Penerbit: Pustaka Azzam | Berat: 1.1kg | Muka Surat: 801m/s. [Disediakan oleh Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com]
‘Abdullah bin Mas’oud radhiyallahu ‘anhu berkata:
“Sesiapa hendak mencari contoh tauladan, hendaklah dia mengambil tauladan daripada orang-orang yang telah mati (para sahabat Nabi). Kerana orang yang hidup masih tidak terjamin aman dari ancaman fitnah.”
Demikianlah kata-kata Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu dalam mengungkap keutamaan para salaf dari kalangan sahabat-sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka, tidak seharusnya kita meremehkan pesanan dan wasiat beliau ini. Jadi, sebelum kita mahu mengambil, meneladani, dan mencontohi para salaf dari kalangan sahabat-sahabat Nabi, tidak dapat tidak wajib bagi kita untuk mengenali mereka dengan baik. Dengan mengenalnya barulah kita mampu meraih tauladan yang sebenar. Dengan mengenalnya pasti kita akan jatuh cinta.
Begitu banyak buku-buku yang mengisahkan tentang perjalanan hidup, sirah, thabaqat (status dan tingkat kedudukan), biografi, karektor, sejarah para Salafus soleh; yang mana salah satu di antaranya adalah kitab ini: Hilyatul Auliya’ wa Thabaqatul Asyfiya’ (Perhiasan para wali dan tingkatan orang-orang suci). Kitab ini merupakan sebuah kitab berbentuk ensiklopedia Islam yang membentangkan sejarah dan biografi para ulama Salaf terdahulu secara terperinci. Penulisnya, Al-Hafiz Abu Nu’aim Al-Ashfahani rahimahullah mengutarakan di dalamnya hadis-hadis yang banyak berserta atsar-atsar salaf lengkap bersanad.
Hadis-hadis dan atsar-atsar tersebut semuanya menceritakan, mengkhabarkan, merakamkan, dan menjelaskan sejarah hidup generasi Islam bermula dari generasi Sahabat, Tabi’in, tabiut Tabi’in, dan selainnya yang mengikuti mereka dengan baik dari kalangan ulama-ulama Sunnah terawal.
Metode penulisan kitab ini dianggap sangat klasik dan menumental, kerana setiap kisah, perkataan, dan biografi ulama Salaf yang dihimpunkan di dalamnya diungkapkan secara utuh menggunakan hadis-hadis dan atsar-atsar salaf yang lengkap, sehingga keaslian, jalan datangnya, dan keabsahannya setiap khabar boleh dipertanggungjawabkan secara ilmiyah berpandukan penelitian ilmu dan kajian hadis atau atsar (riwayat).
Oleh sebab itulah buku ini menjadi antara rujukan utama dalam disiplin ilmu Sejarah ahli sunnah wal-jama'ah.
Kitab Hilyatul Auliya’ wa Thabaqatul Asyfiya’, ini ditulis oleh al-Imam Abu Nu’aim al-Ashfahani rahimahullah. Nama lengkap beliau adalah Ahmad B. ‘Abdullah B. Ahmad al-Ashfahani. Beliau lahir pada tahun 336H, dan wafat pada tahun 430H.
Beliau adalah seorang ulama memliki keutamaan yang begitu besar dan kemampuan ilmu yang hebat. Ibnu Mardawaih rahimahullah mengatakan:
“Abu Nu’aim adalah orang yang didatangi ramai orang pada zamannya. Di seluruh penjuru dunia ini tidak ada orang yang lebih baik sanad dan hafalannya berbanding beliau. Para huffaz (penghafal Hadis) dunia berkumpul di sisi beliau. Sehingga setiap hari menjadi giliran salah seorang di antara mereka untuk membaca apa yang diinginkan sampai masuk waktu Dzuhur. Lalu ketika beliau (Abu Nu'aim) pulang ke rumahnya, adakalanya ada orang yang membaca satu juzuk bahagian di hadapannya selama dalam perjalanan dan beliau sama sekali tidak mengeluh. Beliau selalu sibuk dengan menulis atau menyampaikan Hadis."
Imam adz-Dzahabi rahimahullah mengatakan:
“Beliau adalah Imam al-Hafiz (penghafal Hadis), ats-Tsiqah (terpercaya), sangat alim, Syaikhul Islam.”
Imam al-Khatib al-Baghdadi rahimahullah mengatakan:
“Aku tidak melihat orang yang layak menyandang gelaran al-Hafiz (pada zaman tersebut) selain dua orang: Abu Nu’aim al-Ashfahani dan Abu Hazim al-A’raj.”
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah pernah ditanya tentang orang yang berhajat mendengar kitab-kitab Hadis dan Tafsir dibacakan. Tetapi ketika kitab Hilyatul Auliya’ dibacakan kepadanya, orang tersebut tidak mahu mendengarkannya, maka Ibnu Taimiyah rahimahullah pun menjawab:
“Abu Nu’aim adalah salah seorang penghafal hadis terkemuka, penulis buku yang banyak dan terbilang, dan karya tulisnya banyak dimanfaatkan orang. Beliau lebih besar dari sekadar digelar tsiqah (terpercaya). Kerana kualiti kemampuannya lebih tinggi berbanding gelar tersebut, dan kitabnya (Hilyatul Auliya’) adalah salah sebuah buku terbaik yang mengungkap kisah-kisah orang-orang zuhud. Walaupun demikian, di dalamnya terkandung sebahagian darinya hadis-hadis dan kisah-kisah yang batil.” (Majmu’ Al-Fatawa, I8/17)
Ibnu Nashiruddin Ad-Dimasqi rahimahullah mengatakan:
“Ketika kitab Hilyatul Auliya’ selesai disusun, mereka membawanya ke Naisabur dan terjual dengan harga 400 Dinar.”
Beberapa bentuk Kritikan terhadap Kitab ini dan solusinya:
1. Banyak memuatkan hadis-hadis yang maudhu' (palsu), tanpa disertakan sebarang penjelasan.
2. Menyandarkan perilaku kaum sufi (tasawuf) kepada para sahabat terkemuka seperti Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman, juga kepada para imam terkemuka selain mereka.
3. Menyebutkan kisah-kisah dan banyak perkara aneh berkaitan kesufian yang tidak boleh diamalkan. Kerana boleh jadi ia mungkin akan didengar oleh pemula yang sedikit ilmunya, dan menganggap bahawa itu semua adalah baik lalu kemudian ia pun diamalkan.
4.Terlalu banyak menyebutkan perkara-perkara yang bukan menjadi bahagian dari tema utama kitab ini (iaitu kisah tentang orang-orang zuhud). Contohnya, penulis banyak menyebutkan cerita tentang orang-orang zuhud yang adakalanya keluar dari perbahasan tentang ibadah dan kezuhudan mereka.
Oleh sebab itulah, dalam edisi terjemahan ini, ia diambil dari sumber kitab asal yang telah ditahqiq atau melalui proses penelitian status riwayat-riwayat hadis-hadis dan atsar-atsarnya. Secara umumnya bagi edisi ini:
1. Telah diteliti kedudukan kitabnya, teks-teksnya, dan mengesahkan status redaksinya.
2. Memberi takhrij (status keabsahan) hadis-hadisnya dan atsar-atsarnya dengan disertakan pada nota kaki dengan merujuk kepada kitab-kitab sahih lainnya.
3. Memberi penjelasan terhadap kalimat-kalimat atau perkataan-perkataan yang sukar difahami maknanya dalam kitab asalnya.
Oleh itu, para pembaca yang berhajat terhadap kitab ini dalam menambah wawasan pembacaan, mendapatkan manfaat yang banyak, tambahan ilmu, meraih mutiara kata ulama generasi awal, menuai wasiat mereka, dan menguasai keluasan maklumat terhadap kehidupan para salaf; tidaklah perlu bimbang dari tercampur antara riwayat-riwayat yang sahih dengan sebaliknya. Kerana semua itu, insyaAllah telah disaring dan diberi penjelasan terutamanya pada nota kakinya. [Disediakan oleh Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com. Tidak dibenarkan membuat salinan tanpa kebenaran]