Senarai Penerbit
Categories
Maklumat Akaun

Dapatkan Sekarang

Kurma Ajwa Madinah, Premium Quality

Kurma Ajwa Madinah, Premium Quality
Kurma Ajwa Madinah, Premium Quality Kurma Ajwa Madinah, Premium Quality
Terbitan: Al Alwani Dates
Product Code: Al Alwani Dates
Ukuran Buku: (Tinggi x Lebar x Tebal)(cm) 18.7 x 12.8 x 4.7

ISBN:
Availability: Out Of Stock
Price: RM80.00
Qty:     - OR -   Add to Wish List
Add to Compare

Item: Kurma Ajwa Madinah, Premium Quality | Jenama/Packaging: Al Alwani & Memoni Dates Factory, Jeddah (Arab Saudi) | Berat: 400g (tidak termasuk bekas) | Kandungan: Kurma Ajwa, 550gram.


Kurma (Phonex dactylifera) adalah termasuk makanan yang baik-baik, mengenyangkan, lagi berkhasiat. Ia termasuk jenis makanan yang cukup dikenali di seluruh dunia terutamanya dalam kalangan umat Islam.

Kurma juga turut dikenali dengan sebutan ruthab, iaitu merujuk kurma masak yang masih basah di tangkai dan belum dikeringkan. Manakala tamr pula adalah kurma yang telah dikeringkan.

Tamr atau ruthab termasuk sebahagian buah-buahan yang barakah, makanan para Nabi, makanan para sahabat, dan disebutkan oleh Allah dalam Al-Qur’an sebagai sebahagian dari bentuk-betuk kesenangan, serta disebutkan pula dalam hadis-hadis Nabi dengan pelbagai keutamaan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala menyebutkan dalam firman-Nya tentang Maryam:

وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ تُسَاقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا كُلِي وَاشْرَبِي وَقَرِّي عَيْنًا

“Dan goyanglah pangkal pohon (kurma) itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah ruthab yang masak untukmu, maka makan, minum, dan bersenang hatilah kamu.” (Surah Maryam, 19: 25-26)

Dalam sebuah hadis sebagaimana riwayat Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu:

أُتِيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقِنَاعٍ عَلَيْهِ رُطَبٌ، فَقَالَ: {مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا} [إبراهيم: 25]، قَالَ: هِيَ النَّخْلَةُ.

“Pernah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam diberikan bungkusan ruthab, lalu beliau pun berkata (membacakan satu ayat Al-Qur’an):

“Perumpamaan perkataan yang baik adalah seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Rabb-nya.” (Surah Ibrahiim, 14: 24-25) Beliau bersabda, “Itulah pohon kurma.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 3119. Lihat juga Tafsir Ibnu Katsir)

Dari ayat tersebut turut menjelaskan bahawa pohon kurma sentiasa mengeluarkan hasilnya di setiap musim sehingga boleh dinikmati buahnya setiap hari di waktu pagi dan petang. Dan kurma ini amat sinonim sebagai makanan kaum arab dan di zaman Nabi bersama para sahabat khasnya. Malah mereka menyebut-nyebut kurma sebagai manakan yang barakah dan memiliki keutamaan tersendiri.

Dari Ummul Mukminiin ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau pernah menceritakan:

إِنْ كُنَّا آلَ مُحَمَّدٍ نَمْكُثُ شَهْرًا مَا نَسْتَوْقِدُ بِنَارٍ إِنْ هُوَ إِلَّا المَاءُ وَالتَّمْرُ

“Kami, keluarga Muhammad pernah tidak menyalakan dapur dengan api untuk tempoh sebulan lamanya, makanan kami ketika itu hanyalah air sejuk dan at-tamr (kurma kering).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2471)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda:

لَا يَجُوعُ أَهْلُ بَيْتٍ عِنْدَهُمُ التَّمْرُ

“Tidak akan kelaparan penghuni rumah yang di dalamnya memiliki at-tamr (kurma kering).” (Shahih Muslim, no. 2046)

Kata Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

فيه فضيلة التمر وجواز الادخال للعيال والحث عليه

“Pada hadis ini terdapat petunjuk akan keutamaan kurma (at-tamr) dan dibolehkan untuk menyimpannya untuk ahli keluarga serta anjuran menyimpannya.” (Syarah Shahih Muslim, 13/230)

Dari hadis-hadis ini menunjukkan tentang keutamaan dan kelebihan kurma sebagai makanan yang baik serta mampu menampung keperluan pemakanan harian bagi seseorang dan keluarganya. Dan memang demikianlah kurma adalah termasuk makanan kebiasaan atau harian mereka yang berada di wilayah panas yang dingin.

Banyak hadis-hadis yang lain yang mengkhabarkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memang biasa memakan kurma. Sama ada untuk berbuka puasa, bersahur, ketika menyambut kelahiran bayi, atau selainnya, bahkan juga ketika di medan perang.

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) ada mengungkapkan tentang pohon kurma secara keseluruhannya sebagai berikut:

وبركة النخلة موجودة في جميع اجزائها مستمرة في جميع احوالها فمن حين تطلع إلى أن تيبس تؤكل انواعا ثم بعد ذلك ينتفع بجميع اجزائها حتى النوى في علف الدواب والليف في الحبال وغير ذلك مما لا يخفى وكذلك بركة المسلم عامة في جميع الأحوال ونفعه مستمر له ولغيره حتى بعد موته

“Barakah pokok kurma ada pada semua bahagiannya, berterusan dalam setiap keadaannya. Dari mula ia tumbuh sampai keringnya, dimakan semua jenis buahnya. Kemudian, setelah itu seluruh bahagian pokoknya dapat diambil manfaatnya, sampai bijinya pun dapat digunakan sebagai makanan ternakan. Demikian pula sabutnya, dapat dijadikan sebagai tali, serta yang lainnya pun demikian. Perkara ini sudah jelas. Demikian juga barakah seorang muslim, meliputi seluruh keadaannya. Manfaatnya berterusan untuknya dan untuk orang lain sampai setelah ia mati.” (Fathul Bari, 1/145-146)

Dalam sebahagian kajian perubatan terkini, biji kurma juga boleh dikisar menjadi serbuk lalu direndam dan airnya diminum sebagaimana teh.

Dalam kitab-kitab hadis pula ada diletakkan bab-bab khas berkaitan kurma serta dimasukkan oleh para ulama dalam kitab-kitab mereka berkaitan thibbun Nabawi. Antaranya seperti Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H), beliau menghuraikan berkaitan tamr dan ruthab dalam kitabnya Thibbun Nabawi dan Zaadul Ma’ad. Termasuk di dalamnya adalah kurma ajwah, atau kurma bumi Madinah.

Dan sememangnya bagi kurma Ajwa dari Madinah ini, ia memiliki keistimewaan yang tersendiri berbanding kurma-kurma yang lainnya. Ia disebutkan dalam hadis-hadis Nabi bukan sekadar makanan biasa sebagaimana dipaparkan di atas, tetapi juga sebagai penawar bermanfaat.

Antaranya, sebagaimana hadis dari Sa’ad radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

عَنْ سَعْدٍ، قَالَ: مَرِضْتُ مَرَضًا أَتَانِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي فَوَضَعَ يَدَهُ بَيْنَ ثَدْيَيَّ حَتَّى وَجَدْتُ بَرْدَهَا عَلَى فُؤَادِي فَقَالَ: «إِنَّكَ رَجُلٌ مَفْئُودٌ، ائْتِ الْحَارِثَ بْنَ كَلَدَةَ أَخَا ثَقِيفٍ فَإِنَّهُ رَجُلٌ يَتَطَبَّبُ فَلْيَأْخُذْ سَبْعَ تَمَرَاتٍ مِنْ عَجْوَةِ الْمَدِينَةِ فَلْيَجَأْهُنَّ بِنَوَاهُنَّ ثُمَّ لِيَلُدَّكَ بِهِنَّ

“Pada suatu hari aku menderita sakit, kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjengukku. Beliau meletakkan tangannya di antara kedua dadaku (dua payudara), sehingga jantungku terasa sejuknya tangan beliau. Kemudian beliau bersabda:

“Sesungguhnya engkau mengalami sakit jantung, temuilah Al-Haarits bin Kaladah dari Bani Tsaqif, kerana sesungguhnya beliau adalah seorang dokter. Dan hendaknya beliau (Al-Haarits bin Kaladah) mengambil tujuh kurma ‘ajwah dari Madinah, kemudian ditumbuk beserta biji-bijinya, kemudian meminumkannya kepada engkau.” (Sunan Abi Daud, no.3875. Dinilai dha’if oleh Al-Albani)

Dalam Sunan Abi Daud, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ تَصَبَّحَ سَبْعَ تَمَرَاتٍ عَجْوَةٍ لَمْ يَضُرَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ سَمٌّ وَلَا سِحْرٌ

“Sesiapa yang bersarapan (makan pagi) dengan tujuh biji kurma ‘ajwah, maka pada hari tersebut dia tidak akan dibahayakan dengan racun dan tidak juga sihir.” (Sunan Abi Daud, no. 3876. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dari hadis Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

اَلْعَجْوَةُ مِنَ الْجَنَّةِ، وَهِيَ شِفَاءٌ مِنَ السُّمِّ

“Al-‘Ajwah (sejenis kurma dari bumi Madinah) itu berasal dari Syurga, ia adalah syifaa’ (penawar) dari racun.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2066. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Kata Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H):

إنَّ هذا فى عجوة المدينة، وهى أحدُ أصناف التمر بها، ومن أنفع تمر الحجاز على الإطلاق، وهو صِنف كريم، ملذذ، متين للجسم والقوة، مِن ألين التمر وأطيبه وألذه

“Al-‘Ajwah di sini adalah kurma Ajwah Al-Madinah, iaitu sejenis kurma di kota Madinah, dikenal sebagai kurma Hijaz yang terbaik lagi bermanfaat dari seluruh jenisnya. Bentuknya amat bagus, lazat, teksturnya agak kukuh, dari jenis yang lembut, empuk, dan lazat.” (Zaadul Ma’ad, 4/341)

Dari Aisyah Radhiyallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ فِي عَجْوَةِ الْعَالِيَةِ شِفَاءً، اَوْإنَّهَا تِرْيَاقٌ، أَوَّلَ الْبُكْرَةِ

“Sesungguhnya pada kurma ‘Ajwah Al-‘Aaliyah (di dataran tinggi di kota Madinah berdekatan Nejd) itu mengandungi penawar atau suatu penawar yang bersifat anti racun apabila diambil (dimakan) pada awal pagi.” (Shahih Muslim, no. 2048)

Demikianlah secara ringkas keterangan yang dapat kami beri dan kongsikan. [Disediakan oleh Krew Atsar Ent., Tidak dibenarkan membuat salinan tanpa kebenaran]

Semak Cara Membuat Belian dan Pesanan

Write a review

Your Name:


Your Review: Note: HTML is not translated!

Rating: Bad           Good

Enter the code in the box below:



© 2014 ATSAR Enterprise | Galeri Ilmu Ahli Sunnah. All Rights Reserved.

Website tuned by fidodesign.net