Senarai Penerbit
Categories
Maklumat Akaun

Dapatkan Sekarang

Al-Mulakhkhash Syarah Kitab Tauhid karya Syaikh Dr. Soleh Al-Fauzan

Al-Mulakhkhash Syarah Kitab Tauhid karya Syaikh Dr. Soleh Al-Fauzan
Al-Mulakhkhash Syarah Kitab Tauhid karya Syaikh Dr. Soleh Al-Fauzan
Terbitan: Pustaka As-Sunnah
Product Code: Pustaka As-Sunnah
Ukuran Buku: (Tinggi x Lebar x Tebal)(cm) 24.7 x 16.2 x 3.9

ISBN:
Availability: In Stock
Price: RM77.00
Qty:     - OR -   Add to Wish List
Add to Compare

Judul: Al-Mulakh-khash Syarah Kitab Tauhid karya Syaikh Dr. Soleh al-Fauzan | Judul Asal ('Arab): Al-Mulakhkhash fii at-Tauhid | Penulis: Syaikh Dr. Soleh B. Fauzan al-Fauzan hafidzahullah | Penerbit: Pustaka As-Sunnah | Berat: 1.25kg | Muka Surat: 647m/s. [Disediakan oleh Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com]


Kitab Tauhid yang merupakan salah satu karya tulis fenomenal seorang mujaddid (pembaharu Islam), Syaikh Muhammad B. 'Abdil Wahhab at-Tamimiy rahimahullah, terbina di atas huraian yang lugas dalam bidang tauhid dari hal-hal yang paling mendasar sehingga ke cabang-cabang utama tauhid baik dalam i'tiqad, amalan, mahupun prilaku seorang hamba.
 
Kesederhanaan dalam perbahasan tauhid kepada Allah Ta'ala tidaklah menjadikan kitab ini mengabaikan aspek-aspek ilmiyah. Bahkan dari awal perbahasannya sehingga ke akhir, para pembaca yang budiman akan melihat betapa Syaikh rahimahullah melampirkan dalil-dalil yang cukup tepat dan mengena pada tempatnya.
 
Sejumlah huraian dan syarah mahupun catatan pinggir (hasyiyah) atas kitab ini telah dituliskan oleh para ulama yang ramai sepeninggalan Syaikh rahimahullah. Di antara yang terkenal adalah Taisir 'Azizil Hamid Syarh Kitab at-Tauhid karya cucu beliau, Syaikh Sulaiman B. 'Abdullah rahimahullah. Demikian juga kitab Fathul Majid Syarh Kitab at-Tauhid karya Syaikh 'Abdurrahman B. Hasan B. asy-Syaikh rahimahullah. 
 
Manakala kitab Al-Mulakhkhash Syarh Kitab At-Tauhid ini pula adalah susunan dan huraian oleh Syaikh Dr. Soleh B. Fauzan al-Fauzan hafidzahullah, salah seorang tokoh ulama besar abad ini. Kitab beliau ini adalah antara sekian banyak kitab para ulama Sunnah yang memberikan khidmatnya ke atas kandungan Kitab Tauhid Syaikh Muhammad B. 'Abdil Wahhab rahimahullah. Ia menjelaskan dengan huraian-huraian yang ringkas, tuntas, teratur, dan padat. Tidak berjela-jela sehingga membuat orang lelah. Sebaliknya ringkas dan tuntas sehingga mudah difahami dan memberi manfaat yang mudah dimanfaatkan baik oleh kalangan ahli ilmu mahupun masyarakat awam. Di sinilah letak kelebihan dan keutamaan edisi Syarah dan penjelasan Kitab at-Tauhid susunan Syaikh Soleh B. Fauzan al-Fauzan ini. Wal-Hamdulillah. Semoga bermanfaat.
 
Renungan: Tauhid Kunci Kekuatan
 
Kalau kita imbau kebangkitan dan kegemilangan umat Islam di masa lampau bermula pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, ia amat-amat membanggakan dan dirindukan. Diikuti pula oleh generasi khulafa al-Rasyidin. Umat Islam merupakan generasi yang cukup kuat dan gah di persada dunia ketika itu. Sehingga musuh-musuh yang berada di sekitar pun merasa gerun dan tunduk.

Tetapi pada hari ini, umat Islam kian kehilangan jati diri dan kekuatannya. Umat Islam berpecah-belah dan lemah. Orang-orang di sekeliling hilang hormat terhadap mereka. Rasa gerun di dalam dada-dada musuh umat Islam seakan-akan telah tercabut.

Di antara faktor kelemahan tersebut sebenarnya berpunca dari dasar aqidah dan keimanan mereka yang amat-amat rapuh. Boleh dikatakan kefahaman dan pegangan terhadap agama terlalu cetek sehingga mudah diperkotak-katikkan.

Bukti kerapuhan aqidah umat Islam pada hari ini antaranya dapat dilihat melalui suburnya amalan khurafat, tahayyul, bid’ah dan kesyirikan. Di antara contoh mudah yang dapat kita perhatikan adalah suburnya amalan tangkal dan pelaris. Kunjungi dan singgahlah di mana-mana kedai makan orang Melayu atau Mamak, pasti akan kita dapati sebahagian besar dari mereka menggantung sesuatu di bahagian dinding belakang kaunter bayaran.
 
Selain itu, di samping berdoa kepada Allah, mereka menggantungkan pula permohonan mereka kepada tangkal, berkat tok wali, Tawassul dengan kuburan, dan seumpamanya.
 
Kalau di rumah-rumah pula, masih ramai yang menyimpan atau menggantungkan tulisan ayat al-Kursi di pintu-pintu rumah, botol-botol berisi “bahan pendinding”, keris penjaga rumah, cincin azimat, batu geliga, memelihara ikan puyu sebagai pendinding dari pukau, manakala ikan kelisa sebagai pembawa tuah, dan apa-apa jua yang sewaktu dengannya. Masih terlalu ramai dalam kalangan masyarakat Islam hari ini meyakini tangkal-tangkal dan azimat-azimat tersebut mampu menarik kebaikan atau rezeki dan dalam masa yang sama menolak mudharat.

Apabila budaya khurafat dan tahayyul yang penuh kesyirikan seperti ini berleluasa, selagi itulah umat Islam akan terus dilanda kehinaan dan kelemahan. Kerana kebergantungan mereka kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala telah bertukar kepada tangkal dan azimat tersebut.

Kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

مَنْ تَعَلَّقَ شَيْئًا وُكِلَ إِلَيْهِ

“Sesiapa yang menggantungkan sesuatu (berupa tangkal), maka segala urusannya akan diserahkan kepadanya (kepada tangkal).” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 18781. Dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arnauth)

Mungkin ada yang terlupa bahawa di antara tujuan utama diutus para Rasul kepada umat manusia di muka bumi ini adalah bagi menghapuskan kesyirikan dan mengajak mengabdikan diri semata-mata hanya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada setiap umat manusia supaya menyerukan, “‘Abdikanlah diri hanya kepada Allah dan jauhilah thaghut.” (Surah an-Nahl, 16: 36)

Juga sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam menjelaskan keutamaan dalam berdakwah:

إِنَّكَ تَقْدَمُ عَلَى قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَى أَنْ يُوَحِّدُوا اللَّهَ تَعَالَى

“Sesungguhnya engkau akan mendatangi kelompok ahli kitab, maka hendaklah yang pertama kali engkau dakwahkan kepada mereka adalah supaya mereka mentauhidkan Allah Ta’ala.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 7372). [Disediakan oleh krew Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com. Tidak dibenarkan membuat salinan tanpa kebenaran]
 
Kenapa Para Nabi Memulakan Dakwahnya Dengan Tauhid?
 
Contoh paling mudah adalah hadis-hadis berkaitan surat-surat Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam kepada para pembesar kaum kafir. Antaranya sebagaimana kata Anas B. Malik radhiyallahu 'anhu:
 

أَنَّ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَتَبَ إِلَى كِسْرَى، وَإِلَى قَيْصَرَ، وَإِلَى النَّجَاشِيِّ، وَإِلَى كُلِّ جَبَّارٍ يَدْعُوهُمْ إِلَى اللهِ تَعَالَى

“Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menulis surat kepada Kisra (penguasa Parsi), kepada Qaisar (penguasa Rom), dan kepada Najasyi (penguasa Habsyah), dan kepada setiap penguasa lainnya. Beliau menyeru (mengajak) mereka semua kepada jalan Allah Ta’ala.” (Shahih Muslim, no. 1774)

Menunjukkan prinsip para Nabi dalam memulakan dakwahnya adalah dengan seruan masuk Islam, iaitu seruan mentauhidkan Allah, sekaligus memurnikannya dengan benar dan tulus. Kemudian baru yang lainnya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada setiap umat manusia supaya menyerukan, “‘Abdikanlah diri hanya kepada Allah dan jauhilah thaghut.” (Surah an-Nahl, 16: 36)

Juga sebagaimana dalam sebuah hadis daripada Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu. Beliau berkata:

لَمَّا بَعَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُعَاذَ بْنَ جَبَلٍ إِلَى نَحْوِ أَهْلِ اليَمَنِ قَالَ لَهُ: «إِنَّكَ تَقْدَمُ عَلَى قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَى أَنْ يُوَحِّدُوا اللَّهَ تَعَالَى، فَإِذَا عَرَفُوا ذَلِكَ، فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي يَوْمِهِمْ وَلَيْلَتِهِمْ، فَإِذَا صَلَّوْا، فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ زَكَاةً فِي أَمْوَالِهِمْ، تُؤْخَذُ مِنْ غَنِيِّهِمْ فَتُرَدُّ عَلَى فَقِيرِهِمْ، فَإِذَا أَقَرُّوا بِذَلِكَ فَخُذْ مِنْهُمْ، وَتَوَقَّ كَرَائِمَ أَمْوَالِ النَّاسِ

“Ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengutus Mu’adz B. Jabal kepada penduduk Yaman, beliau berpesan:

“Sesungguhnya engkau akan mendatangi (menemui) ahli kitab, maka hendaklah yang pertama sekali engkau dakwahkan kepada mereka adalah ajakan untuk mentauhidkan Allah Ta’ala. Jika mereka telah memahami hal tersebut, maka khabarkan kepada mereka bahawa Allah memfardhukan ke atas mereka solat 5 waktu setiap hari. Apabila mereka telah solat, sampaikanlah kepada mereka bahawa Allah memfardhukan ke atas mereka zakat dari harta-harta mereka, iaitu diambil dari kalangan kaya di antara mereka lalu diagihkan kepada orang-orang miskin. Jika mereka mentaatinya, maka ambillah sebahagian harta mereka dan jangan engkau ambil harta yang paling berharga milik mereka.”.” (Shahih al-Bukhari, no. 7372. Kitab Tauhid, Bab: Seruan Nabi Kepada Umatnya Agar Mentauhidkan Allah)

Ini kerana tauhid adalah hak ter-Agung Allah ke atas para hambanya dan dengan tauhid yang benar dan tulus, maka para manusia pun akan terselamat dari siksa-Nya. Sekaligus berhak mendapat rahmat dari-Nya berupa Syurga yang penuh kenikmatan.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bertanya kepada Mu’adz:

يَا مُعَاذُ أَتَدْرِي مَا حَقُّ اللَّهِ عَلَى العِبَادِ؟»، قَالَ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: «أَنْ يَعْبُدُوهُ وَلاَ يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا، أَتَدْرِي مَا حَقُّهُمْ عَلَيْهِ؟»، قَالَ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: أَنْ لاَ يُعَذِّبَهُمْ

“Wahai Mu’adz, tahukah engkau hak Allah atas para hamba-Nya?” Jawab Mu’adz, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Maka Nabi pun bersabda:

“Mereka wajib mengabdikan diri kepada-Nya dan tidak mensyirikkan sesuatu pun dengan-Nya. Tahukah engkau hak mereka (para hamba) terhadap Allah?” Jawab Mu’adz, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Maka Nabi pun bersabda:

“Dia tidak akan meng-adzab mereka.” (Shahih al-Bukhari, no. 7373)

Umat Islam dimuliakan Dengan Tauhid Yang Murni

Iaitu mereka yang menegakkan agama Allah yang sebenar-benarnya, bukan yang bercampur-aduk dengan bid’ah dan kesyirikan. Allah Subhanahu wa Ta’ala juga telah berjanji melalui firman-Nya:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang melaksanakan amal-amal soleh bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan adalah benar bahawa Dia akan memperkukuhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, setelah sebelumnya mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap mentauhidkan-Ku dengan tidak mensyirikkan Aku. Dan sesiapa yang ingkar setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah an-Nuur, 24: 55)

Syaikh ‘Abdurrahman as-Sa’di rahimahullah menjelaskan:

هذا من أوعاده الصادقة، التي شوهد تأويلها ومخبرها، فإنه وعد من قام بالإيمان والعمل الصالح من هذه الأمة، أن يستخلفهم في الأرض، يكونون هم الخلفاء فيها، المتصرفين في تدبيرها، وأنه يمكن لهم دينهم الذي ارتضى لهم، وهو دين الإسلام، الذي فاق الأديان كلها، ارتضاه لهذه الأمة، لفضلها وشرفها ونعمته عليها، بأن يتمكنوا من إقامته، وإقامة شرائعه الظاهرة والباطنة، في أنفسهم وفي غيرهم

“Ayat ini termasuk di antara janji-janji Allah yang benar (lagi pasti), yang telah disaksikan kenyataannya dan kandungan beritanya. (Allah) telah berjanji kepada orang yang menegakkan iman dan beramal soleh dari kalangan umat ini bahawa Dia akan memberikan kepada mereka khilafah di muka bumi. Mereka akan menjadi para khalifah di atasnya, yang mengatur urusan-urusan mereka dan meneguhkan agama (yang diredhai) untuk mereka, iaitu agama Islam yang telah mengalahkan seluruh agama kerana keutamaan, kemuliaan, dan kenikmatan Allah atasnya. Mereka bebas dalam menegakkannya dan menegakkan syari’at sama ada yang zahir dan yang batin sama ada untuk diri mereka atau pun selain mereka.” (Tafsir as-Sa’di, m/s. 573 – Mu’assasah ar-Risalah)

Maka dari itu, pastikanlah keadaan tauhid kita, keimanan kita, serta aqidah kita. Sudah tepat dan benarkah sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala berdasarkan apa yang disunnahkan oleh Rasul-Nya? Sudah murni dan tuluskah semata-mata kerana Allah? Tidak ada lagi syirik dan noda?

Semak Cara Membuat Belian dan Pesanan

Write a review

Your Name:


Your Review: Note: HTML is not translated!

Rating: Bad           Good

Enter the code in the box below:



© 2014 ATSAR Enterprise | Galeri Ilmu Ahli Sunnah. All Rights Reserved.

Website tuned by fidodesign.net